alriana5604@gmail.com - AL The One
CERITA SANTAI 3H2M DI SARI PACIFICA RESORT & SPA - PULAU LANG TENGAH, TERENGGANU.
Hai,
Assalam & Salam sejahtera,
Apa khabar pengunjung2 blog saya yang diingati sekalian ?
Intro untuk posting blog saya kali ini lain sedikit.
Ia dimulai dengan para ‘collaborator’ ini.
Kerjasama trip ini dijayakan oleh :
1.Sari Pacifica Resort & Spa selaku penyedia penginapan 3H2M.
2.Merang Jetty + Vigour Marine selaku ‘trans ocean’ atau penyedia khidmat bot laju.
3.LFS Cinema selaku penyedia hiburan untuk tontonan cinema Avengers End Game.
4.Majalah Pelancongan Destin Asia.
Pihak ini semua merupakan pengkolaborasi bagi menjayakan percutian idaman ini.
Untuk lebih lanjut anda boleh ‘google’ nama2 di atas bagi mendapatkan lebih lanjut ‘info’ berkaitan.
Percutian santai yang saya alami kali ini yang boleh dikelaskan penginapannya sebagai penginapan yang bertaraf selesa namun belum lagi boleh dikategorikan sebagai percutian mewah.Sebabnya penginapan saya ini adalah bersifat tuah (lucky).Bukannya ‘luxurious vacation’.
Cubalah anda ringan2kan tangan menyertai apa2 Contest yang diadakan di majalah2 pelancongan Malaysia,Asia dan Antarabangsa.Mana tahu kalau2 anda menjadi pemenangnya.
Doa + Usaha + Minat + Nasib/Takdir = Kejayaan
Ingat persamaan (equivalent) ringkas ini,Ok !
Hanya bertujuan sebagai kenangan dan juga untuk perkongsian bersama dengan mana2 pihak yang sudi membaca posting di blog saya, maka saya coretkan kisah trip 3H2M ini di lembaran blog ini yang juga seumpama Diari Kehidupan saya untuk dikenang2 kembali di suatu ketika nanti, Inshaa Allah jika umur diizinkanNya sehingga ke usia tua.
Saya pergi ke Pulau Lang Tengah pada 02-04 Mei 2019 / Khamis-Sabtu, iaitu hanya 3H2M sahaja.
Pulau Lang Tengah (PLT) ini ialah pulau yang cantik terletak di negeri Terengganu dan ianya diiktiraf sebagai salah satu atau salah sebuah lokasi pulau pelancongan yang tercantik dan dikenali ramai oleh pelancong2 dari seluruh dunia.Ada segelintir yang memanggilnya dengan gelaran ‘Little Maldives of Malaysia’.
Saya menggunakan ‘abbreviation’ ini untuk memudahkan saya menaip :
PLT = Pulau Lang Tengah
SPRS = Sari Pacifica Resort & Spa
LFSC = Lotus Five Star Cinema
MDA = Majalah Destin Asia
SBR = Summer Bay Resort
Resort SPRS di tepian pantai di PLT ini merupakan resort berkelas 4 bintang yang mendapat ‘review2’ positif dari pelancong2 seluruh dunia.
Senang cerita, ia merupakan penginapan yang berada dalam suasana yang sungguh indah, selesa,mendamaikan dan juga mempunyai layanan/perkhidmatan pelanggan yang cukup baik sekali.
PLT ini mempunyai kelasnya yang tersendiri.Ia berkedudukan sejajar dengan tepian pantai yang bersebelahan dengan Summer Bay Resort (SBR).Pasir halus yang bersih memutih,lembut dipijak,terasa angin bayu pantai yang dingin menghembus, kelihatan warna kebiruan air laut yang memukau dan juga betapa jernih laksana kristal airnya,terlihat jelas ikan2 dan terumbu karang di dasarnya.Bahkan saya berpeluang melihat beberapa anak ikan Yu berwarna coklat muda yang berenang2 menangkap ikan2 kecil.
Sungguh menawan sekali, andainya jika mahu ber’snorkeling’ di tepian pantai berhadapan PLT sahaja pun sudah begitu mengujakan.
Sedikit tips dari saya bagi yang berhasrat ke destinasi PLT ini.
Apa perlu anda lakukan jika mahu ke sini:
1.Tempahan Online,Agoda,Booking.com atau Traveloka, dll untuk penginapan.
Kalau anda biasa membaca majalah DestinAsia, ada bermacam2 jenis tempahan online boleh anda cuba.Debit kad dan kredit kad juga diterima.Tempahan online menguntungkan kita kerana harga yang lebih murah berbanding membayar secara ‘walk-in’.Lagipun sekiranya bayaran secara ‘walk-in’, dikhuatiri bilik2 penginapan sudah penuh.
Kadar hotel/resort = Terpulang kepada anda jenis penginapan yang dirasakan mampu.Tapi ‘figure’ nya dalam lingkungan RM600 hingga RM1000 jika percutian selama 3H2M (untuk kos penginapan sahaja).
Jika penginapan anda ditaja dan dibiayai pihak2 tertentu, beruntunglah anda seperti saya.
2.Membayar harga pergi balik perkhidmatan bot laju.
Tiket untuk dewasa : RM60 seorang/sehala.
Tiket untuk kanak2 : RM30 seorang/sehala.
Jika bawa kenderaan sendiri yang ditinggalkan di Merang Jetty, bayaran parking dikenakan RM25 untuk 3H2M.
Perjalanan dari jeti ke PLT ialah selama 1 jam.
3.Tempat makan di SPRS
Kami sempat 2 kali menjamu selera (makan malam) di Café Kayu Manis di penginapan kami SPRS dan biasalah kosnya memang mahal.
Makanan Buffet seorang dewasa : RM50
Kanak2 : Percuma
Hidangan Ala Carte : Ikut harga makanan yang diminta, julat harga RM12 hingga RM40 bagi satu jenis hidangan/masakan.
4.Persekitaran SPRS
Boleh anda bayangkan ianya seperti susunan rumah2 resort kayu yang berkonsepkan seni reka rumah yang setiap unit rumahnya mempunyai verandah untuk sesi santai minum2 kopi dan berbual2 untuk penginap2nya.
Suasana yang amat dekat dengan laut dan pantai.Dari kejauhan mata memandang tampak kejernihan air laut yang membiru.Diserikan lagi dengan kapal2 nelayan dan juga feri2 kecil pengangkut pelancong ber’snorkeling’ yang melabuhkan sauh untuk berhenti seketika.Terdapat pengunjung2 yang bermandi manda merasai kesejukan dan kejernihan air laut.
Jika puas berenang dan ber’snorkeling’ digenangi air pantai yang dingin, boleh pula bermandi manda di kolam renang yang luas dan selesa.
Mengabadikan gambar2 percutian di sini dirasakan tidak puas.Ratusan gambar2 swafoto dan juga gambar2 pemandangan alam semulajadi yang dirakamkan di sini memang sungguh menakjubkan.
Terlintas di fikiran saya, jika alam sebegini cantik boleh diciptakan oleh Tuhan, maka tentulah di Syurga berjuta2 kali ganda dan tidak pernah kita bayangkan kecantikannya disediakan oleh Tuhan Yang Maha Esa.
Inilah namanya kesedaran kita sendiri apabila melihat sesuatu yang indah, kita teringat akan keindahan sifat Tuhan yang menciptakannya.Begitu indah kejadian,kurniaan dan kekuasaan Tuhan sebagai Yang Maha Pencipta.
Cukuplah dahulu setakat ini.Bercerita dengan coretan yang agak panjang di blog ini memenatkan saya untuk terus menaip bait2 kata.
Saya kongsikan gambar2 yang saya abadikan ketika berpeluang diberikan kesempatan bercuti dan bersantai di sini.
Ia sebagai kenang2an kepada saya dan keluarga suatu masa nanti dan terpahat di lembaran yang dinukilkan di blog ini.
Saya anggarkan hampir 800 gambar2 yang sempat saya ambil dan rakamkan sebahagian video2nya sebagai menyaksikan betapa indahnya suasana di persekitaran Pulau Lang Tengah ini dan juga ianya sangat mengagumkan bagi sesiapa yang pernah sampai ke pulau ini.
Saya pernah sampai dan mengunjungi Pulau Pangkor,Pulau Langkawi,Pulau Kapas dan Pulau Tioman sebelum ini.Namun secara peribadinya Pulau Lang Tengah tetap lebih cantik pada pendapat saya.Oleh sebab itulah boleh saya katakan percutian bertuah ini merupakan Percutian Idaman bagi diri saya dan berasa amat bersyukur dengan kurniaan ini.
Saya akhiri dengan 2 buah pantun ciptaan saya berkenaan pulau ini.
"Sungguh cantik Pulau Lang Tengah,
Laut membiru luas teramat,
Syukuri nikmat kurniaan Allah,
Nescaya kita beroleh rahmat"
"Sari Pacifica resort yang cantik,
Bermalam di sini terasa nyaman,
Mari tingkatkan amalan baik,
Menuju jalan ke syurga idaman"
Sekian.
Wassalam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan