Iklan Nuffnang

Ahad, 16 Disember 2012

Pantai Redang & Kampung Nelayan Sekinchan

alriana5604@gmail.com - AL The One

Selamat bertemu kembali di ruangan maya ini;

Cuti persekolah adalah waktunya yang sesuai untuk pergi berjalan-jalan atau pun mengunjungi mana-mana lokasi peranginan,lokasi percutian dan juga bersantai bersama keluarga.

Begitulah juga dengan diri saya sendiri, baru-baru ini saya telah pun pergi bercuti dan bersantai di sebuah lokasi perkampungan nelayan yang cantik di Selangor.Rasanya, ini adalah kali pertama saya bercuti dan menginap di lokasi dalam negeri Selangor.Walaupun saya bekerja dan menetap di Selangor, namun jarak perjalanan yang agak jauh dan juga faktor ingin lebih selesa untuk berehat bersama keluarga, saya pun mengambil keputusan untuk menginap semalaman di lokasi tersebut.
Lokasinya di mana ?
Di Sekinchan, Selangor.Jarak perjalanannya kurang dari 2 jam dari rumah saya.

Lokasi penginapannya di mana ?
Di Sekin Hotel & Resort dalam kawasan perkampungan nelayan Sekinchan.

Mengapa saya memilih lokasi ini ?
Saya tertarik dengan suasananya, persekitaran kampung nelayannya yang indah, dapat melihat aktiviti harian nelayan dari atas jeti berhadapan dengan lokasi penginapan.Satu perkara lagi, wujudnya sebuah Menara Tinjau yang berketinggian 100 meter ke atas dan apabila melihat suasana sekitar dari tingkat teratas menara ini, pemandangannya begitu indah.


Di sini juga wujud pantai yang dinamakan Pantai Redang.Hanya terletak di belakang kawasan penginapan.Jika hari menginjak ke petang, melihat pemandangan matahari terbenam di sini begitu mempesonakan.Pantai Redang kedudukannya berjajaran seolah-olah seperti memanjang mengelilingi lokasi penginapan ini dan sampai ke jeti nelayan.

Selain itu, aktiviti memancing juga bebas dilakukan di persisiran/di tepian Pantai Redang, bahkan ada juga yang mengambil kesempatan menjala ikan.Jika ingin menikmati dan membeli ikan dan hasil tangkapan laut yang segar juga boleh diperolehi di sini.Ianya jauh berbeza harganya dan lebih murah dijual di sini berbanding di pasar-pasar di Lembah Klang.

Walaupun saya cuma menginap semalaman di sini, bagi saya ianya cukup mengujakan dan menggembirakan.Terutamanya bagi mereka yang suka kepada suasana pantai yang indah,tenang dan mendamaikan.Selain itu, pemandangan sawah padi yang menguning juga membuatkan ramai jurufoto hadir ke sini untuk merakamkan gambar yang menarik.Jika kena dengan masanya, spesis burung-burung (unggas) juga boleh dilihat berterbangan dan singgah di tepian pantai berbatu dan juga di kawasan paya bakau.Namun ianya tertakluk kepada musim-musim tertentu iaitu pada musim unggas-unggas tersebut bermigrasi dari lokasi lain dan singgah di sini.

Jika anda ingin mengetahui bagaimana proses-proses pengilangan hasil padi dan dibungkus sehingga dipasarkan menjadi beras komersil, anda boleh mengunjungi kilang padi yang terkenal di sini.Kilang padi tersebut terkenal di Malaysia kerana menjual dan mengeluarkan beras berjenama Jasmine.

Bagi yang suka mencuba untuk mengetahui selok belok seharian kerja-kerja nelayan menangkap ikan pula,anda bolehlah mendapatkan pakej untuk bersama nelayan menaiki bot dan pergi ke laut menangkap ikan dalam suasana sebenar.Selalunya, pelancong asing dari Singapura, United kingdom,Taiwan dan juga Amerika yang ghairah menyertai aktiviti ini untuk merasai pengalaman sebenar menjadi nelayan.

Jangan risau mengenai makanan di sini, ingin menikmati ikan segar atau hasil tangkapan yang segar dan dibakar juga boleh diuruskan.Manakala makanan sampingan yang terkenal di sini seperti Cendol Durian, Mee Udang Banjir Sekinchan dan juga makanan hasil produk pertanian dan buah-buahan khususnya jagung, mangga, jambu,tembikai dan lain-lain juga banyak terdapat di sini.Silalah nikmatinya.
Oleh itu, bagi yang masih ragu-ragu dan tercari-cari di manakah lokasi percutian di Selangor yang bercirikan kampung nelayan berpantai nan indah, bolehlah datang dan berkunjung ke sini.

Sekian.


Tiada ulasan: