Iklan Nuffnang

Apa Faedahnya Melancong ?


alriana5604@gmail.com - AL The One

Salam sejahtera kepada semua,

Pada kali ini entri saya agak berbeza.Maklumlah orang baru balik melancong ke Singapura.Jadi sedikit sebanyak tatapan untuk kali ini ialah berkaitan apa faedahnya jika kita pergi melancong.


Seperti semua sedia maklum, melancong boleh mendatangkan banyak faedah dan manafaatnya jika kita pandang dari sudut positifnya.Namun ada juga yang tidak suka melancong atas alasan perbelanjaan yang mahal atau kesibukan lantaran masa senggang tidak terlalu banyak diperolehi.



Apa yang saya boleh kupaskan di sini sebagai perkongsian bersama, melancong mempunyai faedah utamanya iaitu dari sudut pengetahuan dan juga pengalaman.Kalau tidak masakan ada pepatah Melayu mengatakan 'Jauh berjalan, luas pengetahuan', kan ?
Jadi, di sini kita sedar bahawa barangsiapa yang suka berjalan, melihat keindahan tempat-tempat yang lain iaitu khususnya tempat-tempat yang belum pernah dikunjunginya, maka dia akan memperolehi pengetahuan dan pengalaman yang luas atau lebih berbanding orang lain.Ini tidak dapat kita nafikan, bukan ?

Lantaran itu, kesempatan melancong ke Singapura baru-baru ini memberikan 1001 macam pengertian kepada saya.Saya melihat perbezaan yang amat ketara antara negara Singapura dan negara kita Malaysia, walaupun negara kita terlebih dahulu mencapai kemerdekaan dan mempunyai bermacam-macam sumber ekonomi dan hasil bumi yang banyak.
Singapura begitu maju dan membangun dengan pesat sekali.Sungguh tersusun perancangan pembukaan bandar-bandarnya dan juga bangunan-bangunannya.Walaupun negaranya kecil, tetapi bandarnya sistematik,bersih,tersusun,terjaga, kemas dan 'easy access' oleh sesiapa sahaja.




Bukanlah maksud saya untuk memburuk-burukkan negara kita sendiri dengan membuat perbandingan ini, cumanya saya ingin menceritakan beberapa perkara yang menjadi keperluan rakyatnya yang begitu diambil berat oleh pemerintah Singapura.

Ianya adalah seperti berikut :

1.Pengangkutan Bas Awam
Masanya yang begitu tepat, jika ditulis bas berikutnya ialah pada pukul 10.15 pagi, jangan bimbang, kepada penumpang yang menunggu, itulah masanya pemandu dan basnya akan tiba.Betapa mereka menepati masa, dan tidak seperti kebanyakan perkhidmatan bas awam kita di Malaysia yang ketepatan masanya boleh diperdebatkan lagi.

Sudah lah begitu, sampai begitu sistematik sekali prosedur menaiki bas tersebut.Perlu di'touch' (sentuh) dengan kad EZ Link yang boleh dibeli untuk kegunaan pelbagai jenis pengangkutan awam, di bahagian 'touch screen' sebelah pemandu bas di hadapan.Manakala jika mahu turun atau berhenti di mana-mana hentian, kad itu juga perlu di'touch' di bahagian 'touch screen' di pintu belakang bas pula, sebelum turun.Bermakna,asalkan 'top up' kad tersebut dan masih ada 'store value' di kad tersebut, mana-mana bas, teksi atau MRT/LRT kita sebagai orang awam boleh menaiki mana-mana jenis pengangkutan awam yang kita suka.

2.Teksi
Amat berdisiplin.Hanya dibenarkan sebuah teksi 4 orang sahaja menaikinya.Tiada 'arguement' lagi, walaupun kita ada rakan lain lebih seorang iaitu 5orang, perlu ambil teksi berikutnya pula.Juga kad EZ link boleh digunakan dan dapat pula diskaun.Ketepatan masa juga sungguh mengkagumkan penumpang dan kebanyakan teksinya yang baru menggunakan kenderaan sedan buatan Korea, Hyundai Sonata yang baru berwarna biru.Namun, terdapat juga teksi yang menggunakan model kereta yang lama seperti Toyota.

3.MRT/LRT
Saya cuma berkesempatan menggunakan perkhidmatan MRT sahaja.LRT saya tidak sempat menaikinya memandangkan dengan menaiki MRT saja sudah membolehkan saya menuju ke destinasi yang saya ingin pergi di Singapura.Antara destinasi yang sempat saya kunjungi dengan menggunakan MRT ialah Al Junied,Harbour Front,Bugis Street,Orchard,Changi,City Hall dan banyak lagi hentian-hentian lain yang saya sudah lupa mengingatinya.Konsepnya MRT ialah sederhana laju (lebih laju dari LRT di Malaysia), bersih sangat, amat 'user friendly'.Setiap perhentian dinyatakan pula hentian berikutnya yang bakal berhenti.Jadi, bagi pelancong yang baru ke sana dan menaikinya amat mudah mengetahui stesen berikutnya yang bakal MRT itu berhenti.

Ianya juga menggunakan kad 'touch' EZ Link yang bernilai SGD12, di mana SGD7 ialah harga kad dan SGD5 ialah nilai terkandung di dalam kad (store value).Sungguh menjimatkan dan berbaloi lagi efektif bukan ?

Seperkara lagi, kita jangka dengan store value SGD5 tentu bererti agak sedikit nilainya, bukan ?Jawapannya, tidak juga.Kita boleh ke beberapa stesen MRT dan pergi kemudian balik semula hanya dengan beberapa SGD sahaja yang luak di kad EZ Link tersebut.Caj tambang MRT amat rendah ! Lantaran, ramai orang atau rakyat Singapura menggunakan perkhidmatan MRT ! Sungguh mengujakan ! Memang benar-benar kos pengangkutan awam di sana amat rendah.Cuba bayangkan, sedangkan saya sebagai pelancong Malaysia yang 'currency'nya lebih rendah dan bila berkunjung ke Singapura menaiki MRTnya, saya juga terasa akan ke'murahan' tambang MRT itu sendiri walaupun dibayar dalam nilai SGD !

Kalau di Malaysia jika ada RM12 = SGD5, berapa hentian, atau berapa kali ulang-alik kita boleh menggunakan LRT ?, ini bukan komuter, tahu ? Komuter mungkin lah boleh pergi banyak tempat dengan RM12.

4.Lain-Lain Jenis Perkhidmatan Awam (Trem)
Saya berkesempatan menaiki trem ke Sentosa, di stesen nya di Vivo City untuk pergi ke Universal Studio Singapore.Ada 3 stesen yang akan trem tersebut berhenti.Jadi saya berhenti di stesen pertama dalam kawasan Sentosa juga,cuma ia berhenti di Universal Studio.Ianya begitu efektif, selesa, cepat dan amat mengujakan.Pendek kata, saya boleh berikan dalam indikator 10, dalam 8/10 untuk perkhidmatan awam di Singapura ini.Mungkin di Jepun, Aussie,London,Korea,New York lebih efektif, mungkin agaknya lebih tinggi sedikit dari Singapura, iaitu 9/10.

5.Andaian/Anggapan Minoriti Melayu Terpinggir Khususnya Yang Bergama Islam
Ini sebenarnya, tidak juga, sebab, saya singgah di mana-mana untuk menikmati juadah halal, memang ada peniaga Islam.Di Harbour Front, ada medan selera, tukang masak dan gerai orang Islam Melayu, Islam Indonesia, masakan Melayu dan Indonesia.Begitu juga jika restoran yang kelihatannya bukan Islam pemilik/pengendali makanannya, namun bila tertera label HALAL MUIS (Majlis Ugama Islam Singapura), ianya Halal, kerana MUIS di sana amat ketat prosedur untuk mana-mana restoran mendapatkan pengesahan label Halal.Bahkan tiada kes pemalsuan label halal MUIS pun di sana.Tidak seperti di Malaysia ini.

Mengenai amalan agama masing-masing termasuk ibadah orang Islam seperti solat Jumaat, solat 5 waktu ianya boleh diamalkan di mana-mana, masjid juga wujud di sana, azan juga berkumandang dan ianya terpulang kepada kita untuk melakukannya atau tidak.Namun prinsipnya, tiada gangguan/tekanan untuk orang Islam beribadat di Singapura.Tidak seperti kita dengar desas-desus berita yang kurang enak mengenainya sebelum ini.

Ini lah yang saya maksudkan di awal pembukaan entri saya kali ini, iaitu apabila kita bergerak keluar melihat negara orang lain,kita lebih mendapat pengalaman dan pengetahuan yang berlipatkali ganda.Kita tidak perlu menjadi kaya raya, atau sentiasa ada duit berpuluh ribu untuk kita pergi melancong, yang penting perancangan kita,kebijaksanaan kita dan juga 'trend' kita berbelanja bila kita melancong.Sesiapa juga boleh melancong ke luar negara, baik negara Asia atau Eropah.Pokok pangkalnya, kita perlu merancang, berjimat dan juga mempunyai objketif/tujuan yang baik.



Namun, sekali lagi saya suka mengingatkan, saya tetap patriotik kepada negara kita, Malaysia.Harapan saya agar kerajaan kita meningkatkan lagi perkhidmatan pengangkutan awam di Malaysia agar ianya benar-benar mampu ditanggung kos menggunakannya oleh rakyat kebanyakan, disamping meletakkan kualiti yang tinggi kepada sistem perkhidmatan pengangkutan awam kita.

Akhir sekali,jika anda pergi melancong ke negara yang lebih maju dari negara kita, amat-amatilah akan sikap rakyat mereka yang begitu berdisiplin bila menggunakan perkhidmatan awam, mereka beratur dengan begitu baik,bersopan santun, menjaga kebersihan,tidak mengganggu penumpang lain dan juga amat berdedikasi menolong orang lain/pelancong yang tidak arif mengenai selok belok negara mereka.Inilah yang saya katakan, 'faedah dalam melancong'.Yang mana sikap-sikap positif ini kita cuba terapkan dan semaikan di hati kita apabila kita pulang ke negara asal kita.

Untuk itu, jika anda melancong, carilah 'faedah utama dalam pelancongan anda' !

Sampai bertemu lagi di lain entri.

Wassalam.

Tiada ulasan: