Iklan Nuffnang

Dari Sudut Mana Kah Kita Melihat Ukuran Kejayaan Tahun 2010 ?

alriana5604@gmail.com - AL The One

Salam sejahtera dan selamat bertemu kembali.

Suka saya untuk berkongsi kali ini dengan anda semua berkenaan dengan pencapaian kita bagi tahun 2010.Ya lah kan, hampir setahun sudah kita lalui tahun 2010 ini, dan hanya beberapa hari saja lagi kita akan melangkah ke tahun baru 2011.Bukanlah kita ingin bercerita mengenai pencapaian dan prestasi mana-mana syarikat tetapi saya ingin mengajak anda semua berfikir, meneliti dan merenung kembali apakah indikator yang kita kategorikan untuk mendakwa bahawa kita secara peribadinya sudah mendapat kejayaan pada tahun 2010 ini ?


Bagi sesetengah orang yang begitu menitikberatkan material khususnya harta benda dan wang ringgit, sudah semestinyalah mereka akan mengira-ngira berapakah jumlah aset mereka, wang tunai mereka dan hartanah mereka.Jika semakin bertambah berbanding tahun sebelumnya, ia dikira satu kejayaan bagi mereka pada tahun 2010 ini.

Namun, pernahkah kita berfikir apakah ukuran kejayaan bagi kategori orang yang biasa-biasa saja seperti kita ini yang rata-ratanya dalam kumpulan pertengahan dan bawahan dalam hirarki masyarakat ? Apakah yang boleh kita lihat dan dari sudut mana kah kejayaan bagi seseorang yang berkerja makan gaji contohnya ? Cuba lihat di sekeliling kita, jiran-jiran kita, sanak saudara kita, orang-orang kampung kita dan juga penjawat awam dan swasta.Apakah penentu ukuran kejayaan mereka bagi sesuatu tahun ?

Dalam masa kerajaan melaksanakan pelbagai program transformasi, seharusnya kita juga sebagai golongan biasa mempunyai transformasi hidup yang jelas bagi berusaha mengecapi kejayaan hidup ini.Antaranya kita perlu lebih berusaha dan menjadi lebih gigih, bersungguh-sungguh dan bertawakkal dalam gerak kerja kita ke arah mencapai kejayaan.Seharusnya kita tidak terlalu leka hanya dengan mengejar kejayaan wang ringgit dan harta benda sahaja.Banyak lagi perkara yang kita boleh anggap ianya satu kejayaan bagi kita apabila kita berusaha dan dapat mencapainya.

Sebagai perbandingan biasa, seorang yang bekerja sebagai peguam contohnya, tentulah berbeza ukuran kejayaannya berbanding dengan seorang guru.Seorang petani/pesawah dan nelayan juga berbeza penentu ukuran kejayaannya jika dibandingkan dengan seorang kerani.Mungkin bagi seorang kerani, dengan memiliki sebuah kereta baru yang sederhana, sudah dikira kejayaan baginya berbanding sebelum ini hanya memiliki dan menaiki motosikal.Begitu juga peguam, jika sebelum ini tidak memiliki firma guaman sendiri, kini sudah memilikinya juga dikira satu kejayaan baginya.




Boleh dikatakan setiap individu mempunyai satu kaedah tersendiri melihat corak hidupnya sama ada berjaya kah mereka atau gagal kah mereka pada sesuatu tahun itu.Ada yang tidak bernasib baik, tahun 2010 ini menyaksikan keruntuhan alam rumahtangga buat mereka dan jalan perceraian dipilihnya.Ada yang gagal dalam perniagaan dan terpaksa menanggung hutang keliling pinggang.Ada juga yang kematian orang tersayang.Ada yang ditimpa kemalangan ngeri.Ada yang kehilangan harta benda akibat bencana alam seperti banjir, ribut dan kemarau.Bermacam-macam lagi lah yang menghadapi pelbagai jenis kegagalan dan ditimpa nasib malang.

Justeru itu,marilah kita sama-sama merenungkan kembali, di manakah kategori diri kita masing-masing 'ditempatkan' oleh Allah dalam usaha kita mengejar kejayaan.Apakah kita sudah menjadi semakin lupa dan leka kepada ketaatan kita kepadaNYA, lantaran kejayaan yang kita kejar, kegagalan yang kita perolehi.Perlu diingat,kejayaan bukan hanya diukur dari sudut materialistik semata-mata, sebaliknya kejayaan haruslah bermula dari sikap, akhlak dan keikhlasan kita dalam memburu sesuatu hasrat kita untuk berjaya.

Seorang guru misalnya,jika dia ikhlas mendidik murid-muridnya, bersungguh-sungguh dalam mengajar, lantaran selepas itu anak-anak muridnya berjaya, itulah sebenarnya kejayaan baginya.Kejayaan dalam ertikata yang lebih bermakna iaitu menjadikan sesuatu kejayaan dimiliki orang lain hasil usaha gigihnya.Begitu juga dari sudut agama Islam,kita tidak melihat kejayaan jika hasilnya dan caranya mendapatkan kejayaan melalui cara haram.Walaupun kejayaan secara haram itu menjadi kebanggaan orang ramai.

Seorang pengumpul harta dan kekayaan yang melimpah ruah belum boleh dikira berjaya jika berbanding seorang pekerja biasa.Ini kerana seorang jutawan dan hartawan begitu tinggi indikatornya untuk dia benar-benar boleh dikatakan berjaya.Sebagai mengambil pepatah dalam filem Spider-Man, 'great power comes with great responsibility' yang menerangkan bahawa sesuatu urusan/kuasa/kekayaan yang besar dan melimpah ruah akan juga diiringi bersama dengan suatu tanggungjawab yang amat besar dan perlu bersungguh-sungguh untuk melaksanakan tanggungjawab tersebut.

Dengan itu, ukuran kejayaan sebenarnya berkait rapat dengan sikap,tanggungjawab dan akhlak.Dalam erti kata lain ianya melibatkan agama.Jadikanlah agama Islam sebagai pembimbing dalam kita berusaha mencapai kejayaan.Nescaya kita akan benar-benar berjaya di dunia dan juga di akhirat.

Salam akhir tahun 2010 dari saya, dan selamat tahun baru 2011.

Tiada ulasan: