alriana5604@gmail.com - AL The One
Salam sejahtera kepada semua,
Terasa lama sungguh saya tidak mengemaskinikan blog saya ini dengan 'entry' baru.Maklum sajalah, alasan biasa, kerja yang banyak sudah pastilah sibuk.Sentiasa juga kena pergi melawat 'sites' dan juga bertemu pelanggan membuatkan ada masanya langsung terlupa dengan blog sendiri.Apatah lagi,baru-baru ini komputer riba pula mengalami masalah dan terpaksa beli yang baru.Masalahnya ialah skrin yang sudah berjalur-jalur dan bila saya tanya kos membaikinya dalam anggaran RM700-RM1000.Lalu pada fikiran saya, eloklah jika dibeli baru dan 'claim' kepada syarikat kerana saya memang layak berbuat begitu.
Baiklah, kita berbalik kepada tajuk asal.Apakah yang biasa kita dengar dan alami lebih-lebih lagi di hujung-hujung tahun begini ? Anda semestinya bersetuju dengan saya, bila sebut saja kita sampai ke hujung tahun pada setiap tahun, kita yang kategori golongan sederhana dan makan gaji ini pasti terlintas begini, ''...ada atau tidak bonus hujung tahun ni, ya?'', atau ''banyak juga aku dapat jemputan kenduri kahwin ni, mana satu aku nak pergi?'', atau ''alamak, kampung aku kat Utara/Pantai Timur dah banjir la...macam mana nak balik kampung ni,cuti pun tak ambil habis lagi tahun ni...''.Inilah antara lintasan yang ada di benak hati dan fikiran kita.
Lantaran itu, kita mudah mengakhiri setiap hujung tahun kita dengan perkara yang sama.Luahan fikiran yang sama, cara yang sama dan juga dengan harapan yang sama.Kita berharap Bonus Tahunan ada dan kalau boleh sebulan atau dua bulan,kita juga suka pergi majlis kenduri kahwin mungkin memang benar kita suka meraikan majlis saudara mara atau sahabat handai yang melangsungkan perkahwinan kah, atau kita sengaja tidak mahu memasak di rumah pada hari minggu.Begitu juga kecelakaan dan bencana banjir, mungkin kita yang tidak terlibat dengan keadaan ini, berasa aman dan tiada perasaan sensitif terhadap mangsa-mangsa banjir yang malang.
Kita lihat di sini, wujudnya 2 persoalan antara sikap/sifat kita yang lebih keAKUan berbanding dengan sikap yang lebih keKITAan.Kita masih sempat memikirkan hak kita untuk dapat Bonus atau tidak,berbanding menolong atau setidak-tidaknya bersimpati kepada mangsa banjir.Kematian bertambah dari hari ke hari di Utara dan Pantai Timur tanahair akibat bencana banjir, kita cuma sekadar melihat berita dan hilang begitu saja di fikiran kita.Kita lebih suka berfikir, ''ah, itu bukannya tempat aku, bukannya kampung aku''.Itulah kelemahan kita yang masih menebal sikap keAKUan.
Tidakkah kita terfikir juga, di Indonesia, negara jiran kita,lebih teruk dan azab ujian Allah timpakan ke atas mereka, di mana Gunung Merapi meletus dan memercikkan lahar abu yang panas sehingga ratusan yang maut.Kemudian, kita dikhabarkan pula pesawat ringan terhempas di Karachi, Pakistan mengorbankan semua penumpang dan juruterbang akibat kerosakan enjin pesawat.Begitu juga, pesawat Qantas A380 Australia yang membuat pendaratan cemas di Lapangan Terbang Changi, di Singapura kerana dikatakan ada kerosakan dalam struktur binaan pesawat gergasi itu.Juga nahas pesawat yang mengakibatkan maut di negara Cuba.
Pendek kata,bala bencana tidak berhenti dan tidak putus-putus berlaku di mana-mana negara di dunia ini termasuklah di negara kita.Jadi kita sebagai individu yang amat kerdil berbanding kejadian-kejadian bala itu, seharusnya bersikap lebih sensitif dan juga menukar acuan pemikiran kita agar setiap hujung tahun kita berakhir dengan kebaikan dan bukannya dengan keburukan dan bencana.Lihat saja pada diri kita sendiri, cara hidup kita, cara kita berbelanja, cara kita bekerja, cara kita berukhwah dan sebagainya.Kita perlu tanamkan perasaan syukur yang tinggi kepada Allah SWT kerana kita masih diselamatkan dari semua bala bencana yang tidak kita ingini itu.Bukankah ianya adalah Bonus yang lebih besar sebenarnya ? berbanding dengan nilaian wang yang kita harapkan? Jadi hargailah ia.
Lantaran itu, saya bersama-sama anda juga marilah kita menutup akhir tahun kita ini dengan perasaan syukur ke hadrat Ilahi atas kurnianNYA mengizinkan lagi kita hidup dan menghirup udara segar di bumi Malaysia ini tanpa ditimpa apa-apa bencana yang dahsyat seperti letusan Gunung Merapi di Indonesia sana.
Janganlah kita sentiasa menjadi stereotaip, bila hujung tahun menjelma hanya 2 perkara dalam tajuk entry ini saja yang kita fikir iaitu dapat Bonus atau tidak, dan juga ingin menjamu selera di majlis kenduri kahwin.Biarlah kita sekurang-kurangnya kita mengambil iktibar dari kisah tragis bala bencana untuk membuatkan kita rasa lebih bersyukur di setiap hujung tahun yang kita lalui !
Sekian,sampai ketemu lagi di lain masa !
Tiada ulasan:
Catat Ulasan