Iklan Nuffnang

Jumaat, 2 April 2010

Kita Yang Bersikap Keluh Kesah...


alriana5604@gmail.com - AL The One


Kita yang selalu bersikap keluh kesah....

Salam sejahtera dan selamat bersua kembali diucapkan kepada pengunjung di ruangan blog saya ini.Saya akui memang agak lama juga saya sudah tidak mengemaskinikan blog ini berikutan tugasan saya yang sentiasa keluar bertemu pelanggan dan tidak berkesempatan untuk menjenguknya sekali sekala sama ada ketika di pejabat mahu pun di rumah.

Kadang-kadang akibat keletihan sehari suntuk bekerja, saya tiada peluang mengemaskinikan blog ini, melainkan hari ini, saya berpeluang mencoretkan beberapa keping rasa monolog diri dan juga sekadar luahan buat tatapan pembaca atau pengunjung blog.

Kita dijadikan oleh Allah sebagai manusia sentiasa bersikap 'tidak cukup'.Kita amat 'dahagakan' pencapaian yang lebih dalam kehidupan kita.Setiap waktu kita sering dilanda perasaan keluh kesah.Mungkin orang akan berkata, ...''saya biasa saja, tidak keluh kesah pun''....mungkin itu jawapan zahir/luarannya sahaja, dalamannya kita tidak tahu.

Sifirnya amat mudah, jika kita tidak keluh kesah, mengapa kita sentiasa diigaui bayangan/perasaan 'ketidakcukupan'..? saya boleh beri jaminan dalam dunia serba moden dan sudah pun memasuki zaman millenium ini, baik orang yang tinggal di desa apatah lagi yang tinggal di bandar akan merasa 'ketidakcukupan' ini dan membuatkan mereka dilanda keluh kesah.

Kita selalu keluh kesah kerana urusan kerja kita yang bertimbun dan lambat untuk dapat disiapkan.Kita juga keluh kesah kerana suami/isteri kita yang buat hal, curang, tidak dengar kata, tidak bertanggungjawab, kaki 'clubbing', tidak menghiraukan anak-anak, kita juga keluh kesah apabila pendapatan kita agak kecil dan sederhana sahaja hinggakan kita tidak dapat merasai kehidupan yang mewah dan berstatus tinggi.

Kita juga mungkin bersikap keluh kesah apabila kita tidak dapat memiliki sesuatu yang kita hajati.Baik ianya barang keperluan atau pun barang dikategorikan sebagai 'kehendak'.Mungkin ada juga yang keluh kesah kerana tidak naik pangkat, tidak dihormati sebagai ketua, dibenci kakitangan bawahan, dijadikan bahan gosip di pejabat dan juga diumpatkeji oleh mereka yang bermulut jahat.

Pendek kata, kita selalu bersikap keluh kesah dalam apa jua fasa kehidupan kita sehari-harian.Buktinya, tiapkali kita tinggalkan anak-anak kecil kita di rumah bersama orang gaji atau di pusat penjagaan kanak-kanak, kita terdetik di hati,... ''harap-harap ok lah hendaknya anak-anak aku tu...''.Bermula dengan yang sekecil-kecil perkara sehinggalah ke sebesar-besar perkara, kita tidak dapat lari dari dirundung perasaan keluh kesah.Itulah sifat kita sebagai manusia.

Namun, walau sebesar mana sekalipun perasaan keluh kesah kita, kendalikanlah ianya dengan cara yang positif dan mengikut jalan agama.Allah itu Maha Berkuasa.DIA yang menciptakan kita.DIA Maha Mengetahui akan sikap negatif dan kelemahan kita sebagai manusia.Tiap kali kita berasa keluh kesah, segeralah beristighfar dan memohonlah kepada Allah agar menenangkan diri kita, juga minta diselamatkan kita, keluarga kita, harta benda kita, kehidupan kita dari sebarang bala bencana dan kemudharatan.

Ingatlah ! di sebalik titisan air mata kita, kerisauan hati kita, kesebakan rasa di dada kita yang membuatkan kita dirundung perasaan keluh kesah itu, akhirnya akan tamat dan berpenghujung.Bumi yang mana tidak ditimpa hujan, lautan manakah yang tidak bergelora.Begitulah juga hidup kita.Ujian demi ujian, kesusahan, kemiskinan, kesakitan, kesedihan semuanya adalah jenis-jenis cubaan hidup untuk kita selagi mana kita bernama manusia.Hadapilah ia dengan tenang, tabah dan berusaha untuk mengatasi segala kesusahan tersebut.Nescaya satu hari nanti, kehidupan kita akan bertambah baik, ceria, bahagia dan mudah-mudahan kita menjadi lebih tabah juga bersyukur di atas ujian-ujian tersebut yang telah berjaya menguatkan mental dan fizikal kita.

Oleh itu, janganlah terlalu berkeluh kesah dalam hidup kita !

Wassalam.

Tiada ulasan: