alriana5604@gmail.com - AL The One
Assalamualaikum dan salam sejahtera,
Tidak terlewat untuk saya mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri bagi tahun ini, 2014 atau pun Tahun Hijrahnya 1435.
Semoga anda semua bergembira menyambut Aidilfitri bersama keluarga dan teman-teman yang dikasihi sekalian.
..........................................................
Ini adalah kisah Aidilfitri saya pada tahun ini.
Saya dikejutkan dengan berita ‘orang asing’ akan beraya di kampung ibubapa saya di Pahang.Orang itu ialah Biras kepada adik saya.Beliau berasal dari negara Perancis dan berketurunan Morocco (Maghribi).
Namanya ialah Mohamad.Beliau ini telah berkahwin dengan adik ipar kepada adik kandung saya.
Beliau lebih senang dipanggil Moha sahaja.
Bagi saya dan keluarga yang lain, termasuk ibubapa, abang-abang, kakak saya (cuma seorang kakak saya ada) dan adik-adik saya, menyambut hari raya aidilfitri pada tahun ini lebih seronok kerana kehadiran Moha.
Banyak juga sessi soaljawab, ramah mesra dan diskusi keluarga kami terhadap Moha.Untungnya, Moha seorang yang peramah dan suka bercakap.
Pada ketika sebelum menjelangnya malam raya (waktu petang),kami mengadakan barbeku (barbeque).Saya dan adik yang bongsu, Solehin kerap melayan dan beramah mesra dengan Moha.Moha lebih fasih bertutur Bahasa Inggeris namun dia juga boleh bertutur dalam Bahasa Arab dialek Morocco dan boleh juga bertutur dalam Bahasa Perancis.
Kini Moha dan isterinya (Ima) tinggal dan bekerja di Singapura.
Selain dari barbeku, kami juga menerangkan dan bercerita kepada Moha berkenaan adat-adat tradisional orang Melayu ketika perayaan dan juga bercerita mengenai kuih muih tradisional orang Melayu seperti Lemang, Ketupat, Dodol, Tapai, Bahulu dan lain-lain.
Walaupun tidaklah semuanya jenis kuih muih itu sempat dirasai oleh Moha, namun ada beberapa kuih muih yang dia suka apabila pertama kali merasainya.Contohnya seperti Kuih Bangkit.Selain itu dia juga mencuba Dodol, Lemang dan Rendang.Tetapi, Moha tidak begitu menyukai makanan pedas.
...............................................................
Itu ialah sebahagian kisah ‘Orang Asing’ yang telah pun menjadi saudara keluarga saya dan juga kehadirannya telah memeriahkan lagi aidilfitri saya pada tahun ini.
...............................................................
Dari perspektif peribadi saya pula, sambutan aidilfitri saya bersama isteri dan anak saya Zarif pada tahun ini hanyalah disambut secara bersederhana sahaja.Kali ini, giliran beraya di kampung saya di Pahang.Sempat jugalah saya beraya di rumah saudara mara terdekat seperti di rumah ibu saudara isteri juga terletak berdekatan di kampung saya, pada pagi raya pertama selepas Solat Sunat aidilfitri.
Saya juga dapat merasai juadah dan kuih muih seperti ketupat, lemang dan kuih raya yang pelbagai jenis.Yang paling’ special’ ialah Bihun Sup dicampur daging lembu disediakan oleh ibu saudara isteri cukup menyelerakan sekali.
Kemudian saya juga sempat berkunjung ke rumah rakan lama saya ketika di sekolah menengah.Kami mengimbau kembali saat suka duka, saat nakal dan juga saat bersama ketika di zaman persekolahan.Sungguh manis sekali.
Selain dari itu, kunjungan saudara mara juga agak meriah di pagi raya pertama sehingga penuh ruang tamu rumah ibubapa saya.Namun hakikatnya beginilah, tidak semua saudara mara yang datang berkunjung itu saya mengenali mereka.Perbezaan jarak umur, latar belakang, mungkin wajah yang berubah membuatkan kami tidak begitu akrab.Bak kata ibubapa saya, jika bertemu di mana-mana tempat berselisih bahu pun, mungkin tak kenal yang itu adalah saudara mara kita.
Saya juga berkesempatan menziarahi pusara Arwah Nenek saya bersama keluarga.Kami membacakan doa serta tahlil bagi mendoakan kesejahteraan ruh Arwah Nenek.Semoga ruh Nenek ditempatkan oleh Allah bersama golongan orang-orang yang beriman.
.................................................................
Inilah realitinya.Aidilfitri mengungkap pelbagai kisah bagi setiap orang.Lain keluarga, lain caranya.Lain budaya, lain rentaknya.Namun aidilfitri tetap dirayakan oleh Umat Islam sebagai tanda kemenangan setelah berpuasa sebulan di bulan Ramadhan.
Di suatu sudut sana, wujud Umat Islam yang serba kekurangan dan tidak mampu untuk bergembira di hari raya ini.Juga di sebalik benua sana, wujud peperangan, penindasan dan pembunuhan ke atas Umat Islam.
Pernah kah kita terfikir bagaimana mereka yang serba kekurangan merayakan aidilfitri?
Bagaimanakah mereka yang diserang dan dibunuh boleh bergembira merayakan aidilfitri?
Lantaran itu, bersyukurlah kita kepada Allah kerana masih lagi diberikan kebahagiaan dalam menyambut aidilfitri.
Salam aidilfitri dari saya – Blogger Right Deeds.
Maaf, Zahir dan Batin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan