alriana5604@gmail.com - AL The One
Salam sejahtera & selamat bertemu untuk ke sekian kalinya di blog saya ini.
Susah betul nak cari Pantai yang ‘hidup’ di Selangor ni, ya?
Maksud saya, pantai yang ada suasana kedamaian, kelihatan ombak beralun, tiupan angin yang sepoi-sepoi bahasa dan juga kelestarian pemandangan serta kebersihan persekitarannya.
Amboi, bahasa buku betul bunyinya, ya.
Ok, sebenarnya saya memang tahu di Selangor dan di Kuala Lumpur ini memang tidak wujud pantai yang lestari seperti saya sebutkan tadi.Cuma yang ada 2 pantai saja yang agak ‘glamour’ dan dikenali ramai di sini, iaitu Pantai Morib dan juga Pantai Bagan Lalang.Ada satu lagi, tapi tidak sepopular yang 2 ini, iaitu Pantai Kelanang, berdekatan juga dengan Pantai Morib.
Manakala yang jauh sikit ke Kuala Selangor sana pula ialah pantai Redang di Sekinchan.
Eh, banyak pulak dah ya pantai di Selangor, tadi saya kata tak de sangat… Hahaha….
Tidak, sejujurnya maksud saya ialah pantai yang sebenar pantai, laksana Pantai Peranginan lah.Sememangnya di Selangor dan di KL tidak wujud Pantai Peranginan yang tersohor seperti Pantai Irama, Pantai Teluk Cempedak, Pantai Teluk Batik dan lain-lain pantai peranginan.
Justeru itu, dek kerana ‘kehausan’ (mujur tak guna istilah ‘kegersangan’…hahaha…), lama sudah tidak ke pantai maknanya dan teruja ingin merasai suasana pantai, saya pun bawa lah anak dan isteri bersiar-siar di Pantai Morib.Saja ingin menyelongkar, melihat, merasai suasana pantai ini adakah sama seperti pantai yang saya dambakan.Sambil-sambil itu tidaklah ‘boring’ sangat asyik cuti Sabtu dan Ahad ‘lepak’ di rumah saja, kan? Justeru itu bawalah anak dan isteri ‘berpeleseran’ di Pantai Morib.
Komen positif dan negatif saya mengenai Pantai Morib ialah seperti berikut :
Komen Positif
1.Suasana dan dekorasi/lanskap bolehlah dikira cantik dan kelihatan terjaga oleh pihak Majlis Perbandaran di sana.
2.Tiupan angin agak nyaman tetapi kerana cuaca yang panas, angin tidak begitu terasa sangat.
3.Bagus kerana terdapatnya gerai-gerai yang aktif dan dibuka kepada pengunjung.Kedai cenderamata dan juga kedai makan memang dibuka awal dalam jam 10-11 pagi sudah beroperasi.
4.Taman kanak-kanak (playground) juga bersih, boleh digunakan, cantik dan banyak juga pilihan jenis permainannya.
5. Sampah juga kurang dan kelihatan ada khidmat Majlis Perbandaran memungut sampah.
6.Kemeriahan juga terasa kerana Sabtu dan Ahad ada saja aktiviti dari orang awam yang berkunjung.Contohnya, dari kumpulan berbasikal, bermotosikal, kanak-kanak pra sekolah, bahkan juga terdapat program dari TV (masa saya ke Pantai Morib itu ada program Mari Mengaji Al Quran dari terbitan TV9, rasanya).
7.Ada kelihatan penaiktarafan untuk ‘huts’ (wakaf-wakaf untuk berehat) di tepian/persisisran pantai Morib.Kelihatan pembinaan sedang dilakukan.
8.Ada juga terdapat individu menjual permainan biasa yang popular di kawasan pantai, seperti ‘frisbee’, topi, ‘bubble gun’ dan juga layang-layang berbagai bentuk.Best ni, saya siap main layang-layang bentuk burung lagi di tepian Pantai Morib ni.
9.Terdapat tembok keselamatan merintangi menuju ke persisiran pantai bagi tujuan menahan hakisan ombak apabila berlaku fenomena air pasang besar.Ini bagus untuk keselamatan pengunjung khususnya kanak-kanak agar tidak terus pergi menuju ke pantai.
10.Terdapat juga chalet-chalet dan resort yang dibuka dan baru akan dibuka (baru beroperasi) bagi mereka/pengunjung yang ingin menginap dan bermalam di kawasan Pantai Morib ini.
……Ok, 10 perkara saja cukuplah untuk perihal perkara-perkara positif berkenaan Pantai Morib ini berdasarkan ‘evaluation’ saya.
Manakala perkara-perkara negatifnya saya tidak perlu highlight kan secara ‘numbering’.Saya ceritakan/huraikan sahaja lah ya.
Pantai Morib ini, secara pandangan negatifnya apa yang saya boleh maklumkan ialah pantainya yang berkeadaan tidak berombak dan tiada bunyian deruan ombak menghempas pantai.Suatu ciri pantai yang begitu tenang dan pengunjung dikhayalkan oleh alunan ombak tidak wujud di sini.Ini kerana pantainya terkesan dari hakisan, menjadi jauh jaraknya dari tepian pantai berpasir ke ‘gigi air’.
Terdapat segelintir pengunjung yang kepingin benar menyentuh air dan mengharungi air laut terpaksa berjalan jauh (menempuh selut dan pasir basah) semata-mata untuk merasai kesejukan air laut.Inilah agaknya bentuk rupabumi pantai di sini.Atau dek kerana faktor pencemaran/pembinaan/keadaan alam sekitar atau pun faktor cuaca menyebabkan airnya menjadi kering kontang.
Inilah satu-satunya perkara negatif yang semua orang sedari jika berkunjung ke Pantai Morib.
Tidak seperti di Pantai Bagan Lalang yang saya juga pernah ke sana, ianya masih terdapat pukulan/deruan ombak ke persisiran pantai dan masih juga boleh merasai kesejukan air pantai tanpa perlu berjalan jauh dan mengharung selut.Namun, Pantai Bagan Lalang juga air lautnya begitu kekuningan dan tidak bersih.Biasalah, faktor pencemaran dan pembinaan yang mengakibat hakisan pantai dan membawa masuk tanah ke dalam laut menyebabkan air laut menjadi kekuningan/kemerahan.
Inilah ‘harga’ yang kita perlu bayar akibat dari pembinaan dan kemajuan.Ia telah mengakibatkan ekosistem dan alam sekitar terganggu khususnya keadaan persekitaran pantai seperti di Pantai Morib.
Ok.Habis sudah cerita mengenai Pantai Morib melalui pengamatan/dari kacamata penilaian saya.
Pantai Morib bagi saya bukanlah ‘pantai sebenar’ dalam ertikata Pantai Peranginan.
Namun sekadar untuk berehat-rehat hujung minggu dan anda juga tinggal menetap di Lembah Klang, bolehlah berkunjung ke Pantai Morib ini.Cumanya, janganlah anda membawa ‘high expectation’ sangat jika anda baru pertama kali ingin berkunjung ke sini.
Bagi saya, Pantai Morib bukanlah pantai dambaan saya…
Sekian.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan