Iklan Nuffnang

Jumaat, 19 April 2013

PRU Ke-13 : Harapan Golongan Kebanyakan Rakyat Malaysia

alriana5604@gmail.com - AL The One

Hello..to all voters in Malaysia General Election 13,

Bro & sis,

Sebenarnya, sempena Pilihanraya ke-13 kali ini, kita bertarung dengan perasaan dan pertimbangan kita sendiri.Kita jenis yang berbeza-beza pemikiran dan pendapat.Kita merupakan pengundi yang subjektif dan sukar diramal.Ada yang sudah setkan awal-awal lagi di fikiran mereka, parti apakah yang mereka akan undi dan ada juga yang masih berteka-teki akibat dirundung rasa serba salah mahu mengundi siapa dan apa partinya.

Ok.

Sebagai rakyat Malaysia, apa yang kita impikan ? Ikhlaskan lah hati kita untuk menjawabnya.

Apakah harapan golongan kebanyakan rakyat Malaysia ?

Biar saya luahkan.

Sebagai rakyat Malaysia dari golongan kebanyakan, saya mengimpikan perkara2 berikut dapat dilaksanakan, tidak kira lah parti mana yang akan menjadi kerajaan di Malaysia nanti :

1.Pertama sekali, sudah tentulah saya menginginkan perkara asas keperluan hidup direndahkan kosnya dan menjadi mampu milik.Iaitu rumah atau tempat tinggal.Walaupun mampu milik, biarlah rumah tersebut agak selesa, janganlah terlalu kecil, sempit dan menyesakkan.Seharusnya pangsapuri yang berharga RM150 ribu-RM200 ribu kini, direndahkan harga menjadi RM100 ribu sahaja.


2.Barangan keperluan makanan dan pakaian juga perlu dikawal dan diminimumkan harganya.Khususnya makanan utama seperti beras, tepung, gula, sayur-sayuran, ikan, daging dan juga jenis makanan-makanan lain.Seharusnya kerajaan yang memerintah tidak terlalu bergantung kepada ‘taikoon’ pembekal sahaja , sebaliknya kerajaan sendiri mesti ada kuasa penentu dan pengawal harga.Penglibatan terlalu ramai taikoon dan kroni dalam bidang ekonomi berkaitan barangan asasi dan keperluan makanan menyebabkan rakyat dihimpit harga yang sentiasa dinaikkan sesuka hati oleh pembekal.


3.Harga bahan api sama ada petrol atau diesel perlulah direndahkan/diturunkan.Janganlah kononnya sentiasa berpandukan harga pasaran dunia petroleum per barrel/tong.Apabila harga petroleum dunia naik, pemerintah segera menaikkan harga, sedangkan apabila harga menurun, pemerintah amat liat dan berusaha untuk tidak menurunkannya dengan berhujah harga bahan api kita masih rendah berbanding negara jiran.Ini tidak betul dan amat menekan kehidupan rakyat yang menanggung bebas kos bahan api yang tinggi setiap hari.Sepatutnya kita sebagai antara salah satu negara pengeluar petroleum melalui Petronas,harga bahan api di negara ini seharusnya seminima yang mungkin (dalam RM1.00/liter ke bawah), sepertimana di negara Qatar, Iran dan Arab Saudi.


4.Kos pendidikan dan pengajian.Ini juga perkara yang rakyat sudah lama inginkan.Bukanlah bermaksud semuanya hendak percuma, namun kerajaan perlu kurangkan pelbagai pembekal dan juga orang tengah.Optimumkan fungsi Kementerian Pendidikan.Kos pendidikan seharusnya dari permulaan seorang rakyat/kanak-kanak belajar di pra sekolah lagi sehinggalah ke peringkat universiti perlulah diminimumkan.Bukannya kita manja atau pun ingin menebalkan budaya subsidi, namun kerajaan kena ambil tanggungjawab kerana bidang pendidikan bakal menentukan pemimpin negara dan juga masa depan negara oleh generasi yang akan datang.Seharusnyalah kerajaan mesti menanggung kos ini dalam bentuk pemberian dan memperbanyakkan biasiswa.Kurangkan pergantungan kepada buku-buku yang dicadangkan oleh pembekal bagi tujuan melariskan produk jualan mereka.Khususnya, buku-buku tambahan, kajian, latih tubi yang sebenarnya membebankan kewangan bagi ibubapa yang perlu membeli untuk anak-anak mereka.Wujudkan banyak tuisyen percuma di sekolah dengan menaikkan gaji guru-guru.Cetak dan tanggung kos sendiri oleh Kementerian Pendidikan sekiranya buku-buku latihan dan buku-buku tambahan diperlukan.Kesannya, pelajar-pelajar dan keluarga mereka tidak akan dibebani masalah kewangan dalam melaksanakan hasrat untuk belajar.

5.Harga kenderaan tertentu perlu diturunkan atau direndahkan mengikut kemunasabahan.Pada saya, tidak perlu semua harga kenderaan direndahkan/diturunkan.Sebabnya, kerajaan perlu fokuskan kepada keperluan rakyat bukannya keperluan industri atau pun bagi tujuan komersil/perniagaan.Memadailah jika menurunkan harga berkategori sedan, kompak, MPV, SUV dan juga yang biasa digunakan oleh rakyat kebanyakan.Tidak perlu semua jenis kenderaan diturunkan harganya, bukan? Buat apa kerajaan turunkan harga lori kontena, bas ekspres atau pun lori-lori pengangkutan perniagaan, bukan ? Ianya bukan digunakan oleh rakyat kebanyakan pun.


6.Mewujudkan belanja sara hidup atau elaun bulanan surirumah.Mengapa surirumah? Bukannya kepada semua wanita tidak bekerja?Hujah saya ialah jika elaun bulanan diberikan kepada semua wanita tidak bekerja, mungkin ianya agak membazir sumber dan wang kerajaan.Sebabnya mungkin wanita tidak bekerja itu mereka tidak mempunyai tanggungan (bujang/anak dara), hanya diri mereka sendiri sahaja.Jadi mereka carilah pekerjaan.Melainkan kes berkecuali jika mereka OKU atau tidak berkemampuan dari segi fizikal.Oleh itu, pemberian elaun bulanan bertepatan kepada surirumah tangga sahaja, tidak mengira mereka masih ada suami atau tidak, mempunyai anak atau tidak, asalkan kerja mereka surirumah dan mentadbir keperluan rumahtangga mereka.Ini tujuan meringankan beban mereka dan pasangan/tanggungan mereka.Cadangan pemberian elaun bulanan bermula RM500-RM1000 sebulan sudah memadai.

7.Akses internet percuma dan terkawal.Saya melihat kerajaan perlu memperluaskan lagi kawasan akses internet percuma ini.Bukannya terhad kepada pengwujudan kawasan kampung digital dan kampung wayarles sahaja.Bukan juga terhad kepada kawasan-kawasan bandar-bandar sahaja.Apa salahnya diwujudkan akses internet percuma di taman-taman permainan, taman di mana tempat rakyat berehat dan beriadah juga di lokasi-lokasi awam yang lain.

8.Penambahbaikan sistem pengangkutan awam.Saya melihat ini bisa menjadi alternatif kepada rakyat dalam membuat keputusan membeli kenderaan baru walaupun harganya diturunkan seperti diterangkan di perkara nombor 5.Ini kerana jika akses setiap pengangkutan awam kita moden, berdinamik, mempunyai banyak pilihan, cekap, menepati waktu, senang dicari/diakses (mudah sampai) dan juga kedudukan lokasi yang menyenangkan rakyat, sudah tentulah rakyat kebanyakan akan memilih menaiki dan menggunakan pengangkutan awam, daripada bersusah payah memandu kenderaan sendiri meredah kesesakan lalulintas.


9.Kos rawatan dan penjagaan kesihatan perlu diminimumkan kosnya dan ianya mestilah munasabah.Maksudnya, janganlah rakyat diberikan seolah-olah ‘double standard’ dalam kategori mendapatkan rawatan kesihatan.Bila disebut harga rawatan di hospital swasta jika tiada deposit beribu-ribu Ringgit Malaysia, maka rakyat tidak mendapat rawatan terbaik.Seharusnya kerajaan mewujudkan banyak lagi hospital untuk rakyat kebanyakan (yang sekelas dengan hospital swasta) dan dikendalikan oleh doktor-doktor terlatih.Jangan setakat mendabik dada hospital kerajaan cantik dan indah, tetapi bilangan doktor tidak cukup, dan ianya menyebabkan rakyat tidak mendapatkan rawatan dengan segera pada kos yang berpatutan.

10.Kos sara hidup semasa perlu bersesuaian dengan tangga gaji/pendapatan.Ini juga penting bagi mereka yang makan gaji.Dalam konteks hidup di bandar-bandar besar, seseorang yang berpendapatan RM3000 ke bawah perlulah diberikan elaun sara hidup bulanan bagi membantu mereka meringankan beban bulanan.Mungkin di antara julat RM200-RM500 kerajaan dan majikan perlu berikan elaun tambahan bulanan (COLA (Cost of Living Allowances) kepada rakyat mengikut kawasan bandar mana yang mereka bekerja/tinggal.

11.Mewujudkan banyak peluang pekerjaan bersesuaian dengan peratusan jenis bidang di pusat pengajian tinggi.Ini bermaksud, kerajaan perlu jadi cerdik dan bijak mendapatkan statistik mengikut bidang apa yang pelajar/rakyat ceburi di peringkat universiti.Bila mereka keluar/tamat pengajian, peluang pekerjaan sudah terbentang di depan mata dan juga bersesuaian dengan bidang pengajian yang diambil oleh mereka.Barulah kadar pengangguran boleh diminimumkan.Atau pun kontranya, Institusi Pengajian Tinggi atau Univeristi perlu menawarkan jurusan yang selari dengan jumlah permintaan dan jenis pekerjaan di pasaran buruh semasa sahaja.


12.Dan terakhir sekali ialah, menghapuskan sedikit demi sedikit bayaran tol.Ianya logik sebab sudah terlalu lama sangat rakyat menanggung kos/belanja tol ini.Cuma dikecualikan kepada lebuhraya yang masih baru dan perlukan tempoh masa penjanjian lagi.Bagi lebuhraya yang sudah lama seperti PLUS, kerajaan patut mengambil alih sepenuhnya dan bebaskan rakyat dari belenggu bayaran tol yang tinggi.Berkenaan belanja baikpulih lebuhraya lama yang mungkin melibatkan kos tinggi, kerajaan boleh mengeluarkan tender baikpulih tanpa mewujudkan konsesi tol khusus.Maksudnya kerajaan cuma mengeluarkan belanja ketika lebuhraya mahu dibaiki, bukannya dengan menekan setiap rakyat membayar tol kepada konsesi khusus yang mengutip tol dan juga melaksanakan kerja membaiki lebuhraya dengan cara mereka (sesuka hati).Jika tender dikeluarkan kerajaan, kerajaan boleh dan berkuasa memperincikan cara melaksanakan kerja-kerja membaikpulih secara terperinci kepada kontraktor.


Sekian sahaja, harapan saya sebagai rakyat Malaysia.

Tiada ulasan: