Sabtu, 5 Mei 2012

3 Hari 2 Malam Di Pulau Tioman

Salam sejahtera & selamat bertemu untuk ke sekian kalinya.

Saya amat bersyukur dan merasa bertuah untuk sama-sama saya kongsikan pengalaman saya bercuti di Pulau Tioman baru-baru ini.Selain dari sekadar hasil nukilan sendiri sebagai kenangan catatan peribadi di blog saya ini, saya juga berharap agar ianya dapat memberikan sedikit panduan dan tunjuk ajar kepada mereka yang ingin berkunjung ke sana.


Saya pergi bercuti ke Pulau Tioman selama 3 Hari 2 Malam bersama keluarga yang kesemuanya berjumlah 9 orang, iaitu 7 dewasa, 1 remaja dan seorang bayi.Kami menginap di resort Idaman Beach Holiday yang terletak di Kampung Genting.Kami bertolak pada 28 April 2012 dan menaiki feri di Jeti Tanjung Gemok, Rompin Pahang pada jam sekitar 12.00 tengahari.Perjalanan menaiki feri ke Kampung Genting dengan menyeberangi lautan ke Pulau Tioman mengambil masa lebih 1 jam.Kos menaiki feri pergi dan balik ialah RM70.00 bagi seorang dewasa.


Untuk makluman, di Pulau Tioman wujud banyak kampung dan jeti persinggahan untuk feri berlabuh dan mengambil serta menurunkan penumpang dan pelancong.Di antaranya Kampung Salang, Kampung Nipah,Kampung Mukut, Kampung Tekek, Kampung Genting,Kampung Air Batang, Kampung Panuba, Kampung Paya dan lain-lain lagi yang saya sendiri sudah lupa mengenainya.Di antara kampung-kampung tersebut yang menjadi kemegahan atau pun boleh dikira sebagai ‘city’ kepada kampung-kampung lain ialah Tekek.Tekek ini bolehlah dianggap sebagai Pusat Bandar di Pulau Tioman ini.Ia menempatkan Kedai Bebas Cukai (Duty Free Zone),Mercutanda Burung Tiong,Taman Laut Tioman,Medan Selera yang pelbagai dan ianya juga merupakan destinasi paling terkenal di Pulau Tioman untuk aktiviti ‘snorkelling’, iaitu di Teluk Tekek berdepan betul-betul dengan Bangunan Informasi Taman Laut Tioman.


Di Tekek juga ada pelbagai kemudahan seperti sewaan kenderaan pandu sendiri atau pun dipandu oleh penunjuk arah,khidmat pemandu pelancong,lokasi untuk aktiviti perkhemahan,sewaan peralatan menyelam (scuba diving) dan juga menyewa bot atau pun kapal layar mewah dan sederhana mewah.Kebiasaannya, aktiviti berlayar dengan kapal layar disukai oleh pelancong Barat/Eropah.

Peristiwa yang tidak dapat dilupakan oleh saya dan keluarga ialah apabila kami dapat membantu seorang pelancong wanita veteran dari negara Perancis yang hampir lemas kerana dibawa arus laut setelah dia berenang berhampiran kapal layar yang disewanya.Kebetulan pada waktu itu kami menaiki ‘speed boat’ dari Kampung Genting untuk ke Tekek dan Pulau Renggis bagi tujuan aktiviti ‘snorkelling’ dan ‘round island’ (island hopping). Lalu kami membantu pelancong Perancis itu naik ke atas bot kami dan menghantarnya ke kapal layar yang disewanya.Dia benar-benar lega dan memberikan isyarat berterima kasih (beliau tidak tahu berbahasa Inggeris) kepada kami sambil termengah-mengah keletihan berenang dan mengapungkan diri di arus laut yang agak deras. Kami juga berasa begitu bangga dan bertuah kerana berpeluang menyelamatkan satu nyawa.


Selain dari aktiviti berlayar, terdapat juga aktiviti berkayak (canoeing).Namun, aktiviti menyelam skuba merupakan aktiviti yang biasa di sini yang dilakukan oleh penyelam tempatan dan ada juga penyelam dari luar negara.Pulau Tioman ini memang sinonim dan amat dikenali sebagai ‘Syurga Penyelam’ di seluruh dunia.

Ini kerana, suasana di dasar lautnya yang amat cantik, mengandungi terumbu karang yang berwarna, terdapat perlbagai spesies ikan ‘nemo’ (clown fish) yang cantik dan juga keadaan air lautnya yang sungguh jernih umpama kaca/kristal.Di sini juga ada pertubuhan atau pun satu badan yang mengajar untuk menyelam yang dikenali sebagai PADI (Professional Association of Diving Instructors (PADI)).

Jadi sesiapa yang berminat untuk menyelam dan mendapatkan lesen menyelam profesional bolehlah berdaftar dengan pertubuhan ini.


Baiklah,… berbalik semula kepada cerita percutian saya.Itu tadi baru intro untuk memberikan seimbas pengenalan dan tarikan kepada mereka yang belum tahu sangat berkenaan Pulau Tioman.

Mengapa saya memilih untuk menginap di Kampung Genting ?

Ini kerana, resort yang saya dan keluarga inap itu amat berdekatan dengan laut yang jernih dan cantik.Bahkan, di kawasan dasar laut yang landai itu pun terdapat batu karang yang cantik dan ‘clown fish’ yang pelbagai spesies ! Dengan hanya menyelam dan ber’snorkelling’ di kawasan yang cetek (kira-kira 2-3 meter) dalam sahaja sudah dapat menyaksikan kecantikan hidupan laut di sini !

Resort Idaman Beach Holiday ini juga memiliki pelbagai kemudahan.Di kafetarianya ada kemudahan internet Wi-Fi, ada sarapan disediakan, menu buffet dan ala carte juga boleh ditempah di sini.Stafnya yang cukup peramah dan berbudi bahasa juga menjadi tarikan penginap dan pelancong di sini.

Puan Suzila atau Zila yang begitu berbudibicara dengan saya dan keluarga menyebabkan saya amat berterima kasih kepada beliau.Beliau sanggup melayani karenah kami sekeluarga,maklumlah kami semua baru pertama kali ke Pulau Tioman dan juga menginap di resort beliau.


Jadi di blog saya ini, saya ingin berikan dan dedikasikan ‘compliment’ dan ucapan terima kasih terhadap beliau dan staf-staf Idaman Beach Holiday yang lain atas sikap berhemah dan kebaikan anda semua melayani pengunjung dan penginap di sini, khususnya kepada saya sekeluarga ketika menginap di sini.


Berikut ialah lokasi-lokasi atau aktiviti-aktiviti yang saya dan keluarga sempat kunjungi dan lakukan ketika berada di Pulau Tioman, di antaranya :

1.Bermandi manda di laut,menatapi keindahan pantai,matahari terbenam, ber’snorkelling’ di perairan cetek di hadapan resort Idaman Beach Holiday, menjamu selera, membeli belah di kedai-kedai cenderamata dan juga melihat kejernihan air laut di jeti yang diserikan lagi dengan spesis ikan-ikan yang berwarna warni.


2.Menyertai aktiviti ‘round island’(singgah-singgah dan pusing-pusing ke beberapa pulau) dengan menaiki bot laju yang boleh memuatkan 15 orang, iaitu dari jeti Kampung Genting ke destinasi Pulau Tekek, ber’snorkelling’ di Teluk Tekek dan ber’snorkelling’ di Pulau Renggis.


3.Mengunjungi Kedai Bebas Cukai di Tekek. 4.Mengunjungi dan mengabadikan kenangan di Dataran Tioman yang mempunyai binaan ‘statue’ burung Tiong, di Tekek.


5.Melawat dan mengunjugi Pusat Informasi Taman Laut Tioman, di Tekek.

Inilah di antara lokasi-lokasi dan aktiviti-aktiviti yang sempat saya dan keluarga kunjungi dan lakukan ketika bercuti di Pulau Tioman.Saya tidak memilih aktiviti yang agak ‘rough’ dan mencabar seperti berkayak (canoeing),merentas hutan dan menyelam scuba kerana faktor masa, kos yang lebih mahal dan juga keadaan bersama keluarga yang tidak mengizinkan.Namun saya dan keluarga berpuashati dengan percutian pertama kali kami ke Pulau Tioman ini.Ia membuatkan kami berasa terpanggil untuk ke sini lagi pada masa akan datang bagi melakukan aktiviti-aktiviti yang baru dan lebih mencabar.


Pada sesiapa yang masih belum berkunjung ke Pulau Tioman, silalah datang berkunjung ke sini.Pasti anda kagum dengan keindahannya.

Pulau Tioman,pulau yang indah.Pulau Tioman menggamit kenangan !

Sekian buat waktu ini.Jumpa lagi di lain ‘Berita Percutian’ di blog saya.

Tiada ulasan: