Iklan Nuffnang

Selasa, 14 Jun 2011

Phuket : Antara Tarikan Positif & Negatifnya..

alriana5604@gmail.com - AL The One

Salam sejahtera kepada pengunjung blog saya.

Baru-baru ini, saya telah berpeluang untuk berkunjung ke Phuket, Thailand.Saya pergi selama 4 hari 3 malam iaitu pada 08 Jun hingga 11 Jun 2011.Pada hakikatnya, Phuket bukanlah sebuah destinasi pelancongan yang benar-benar sesuai untuk ‘family man’seperti saya (jika boleh dikatakan begitulah..hahaha..).
Phuket ialah sebuah wilayah di selatan Thai yang mempunyai pulau-pulau peranginan yang cantik, mengasyikkan dan juga menghiburkan pengunjung.Secara kasarnya, Phuket ialah satu bandar yang sederhana, dan seperti juga bandar-bandar lain, Phuket juga mempunyai infrastruktur yang selengkapnya.
Namun, di antara pantai-pantai peranginan yang wujud di Phuket, saya telah memilih untuk menginap di pekan Patong.Akan tetapi bukanlah benar-benar di tepian pantai (berjaga-jagalah, mana tahu tiba-tiba berlaku tsunami).Saya hanya menginap di hotel berkelas sederhana yang terletak di pekan Patong.
Apakah yang menariknya mengenai Phuket atau secara spesifiknya ialah di kawasan Patong ?

Pertama sekali, yang terlintas di fikiran saya ketika tiba di lapangan terbang Phuket ialah pertuturan bahasa warga Thai di sana.Boleh dikatakan amat jarang sekali yang benar-benar faham Bahasa Inggeris.Mereka lebih suka bertutur bahasa Thai.Ini seumpama warga negara Korea, Jepun, China dan juga Vietnam.Mereka langsung tidak berminat untuk mendalami Bahasa Inggeris.Kalau ada pun yang agak fasih berbahasa Inggeris, hanyalah segelintir sahaja.
Jadi, ada masa-masanya, saya terpaksa campur adukkan dengan gaya berbahasa isyarat tangan dan juga berbahasa Inggeris.Kadang-kadang berasa lucu dan lawak pula apabila memikirkan seolah-olah pertuturan di sana lagaknya seperti pertuturan antara ‘ayam dan itik’, iaitu merujuk kepada ke dua-dua pihak menggunakan bahasa yang kedua-dua pihak tidak fasih mengenainya.Ha ha ha….

Apabila saya menuju ke Patong iaitu tempat saya menginap pula, perkara kedua yang saya sedari ialah di sepanjang perjalanan antara Lapangan Terbang Phuket ke pekan Patong, terdapat begitu banyak sekali iklan menawarkan bilik, hotel, resort atau rumah tetamu untuk disewa.Pendek kata, jika sesiapa yang tidak menempah awal penginapan di sini pun, tidak perlu risau.Boleh saja pilih penginapan kategori mana yang anda mahu.Namun, oleh kerana saya pergi ketika ‘off peak season’ di negara Thai, mungkin agaknya jumlah pengunjung tidak terlalu ramai dan tentulah banyak penginapan yang ditawarkan atau masih kosong.Tetapi saya sendiri lebih cenderung untuk membuat tempahan awal dan terus saja membuat pengesahan bagi tujuan lebih selesa dan tidak perlu lagi tercari-cari penginapan ketika tiba di sini.

Perkara ketiga yang saya amat-amati ialah di Phuket dan Patong khususnya begitu banyak farmasi.Mungkin ianya bertujuan untuk perubatan dan pemeriksaan kesihatan.Maklum sajalah…siapa yang pernah ke Patong mestilah tahu dan maklumkan….Bangla Road ialah nama satu jalan yang terkenal dengan tahap “ hiburan dewasa” melampaunya.
Di sini, jika kehidupan menjelang malam hingga ke paginya (nightlife) amat-amat menggerunkan dan menakutkan bagi sesiapa yang berhati suci, baik, alim dan warak.Di sepanjang lorong dan jalan (Bangla Road) ini dipenuhi dengan kelab-kelab malam yang menawarkan bermacam-macam jenis minuman keras (liquor), kedai/pusat mengurut (massage) dipromosi oleh wanita-wanita yang pelbagai rupa dan wajah.Juga terdapat ‘extra services’ yang merujuk kepada perkhidmatan seks.Ianya begitu mudah sekali didapati di sini.Ibaratnya Bangla Road ini seumpama Lorong Haji Taib di Kuala Lumpur lah lagaknya.Memang menyeramkan melalui kawasan ini.

Namun, jangan pula anda tersalah sangka, kerana saya berjalan dan melalui kawasan itu bersama isteri dan hanya ingin merasai dan mengetahui pengalaman ‘kehidupan malam’ di Patong.Lagipun, apabila pekerja-pekerja yang mempromosikan ‘benda-benda tak senonoh’ itu melihat isteri saya yang bertudung, mereka terus membiarkan kami melalui saja, tanpa dipujuk untuk masuk ke pub, kelab malam dan pertunjukan mereka.Mereka juga tahu menghormati orang Islam (Muslim), kerana di Patong saja kira-kira separuh dari populasinya ialah beragama Islam.Situasi ini sama sahaja, ketika saya pernah berkunjung ke Singapura pada awal tahun, baru-baru ini.Mereka nampaknya lebih beretika dengan tidak menawarkan atau mempromosikan perkhidmatan mereka yang bertentangan dengan amalan bagi seorang Muslim.

Seperkara lagi, saya juga pada mulanya berasa pelik, kerana boleh dikatakan keseluruhan pendawaian kabel bekalan elektrik, telefon dan juga kabel-kabel lain di Phuket dan di Patong amat ‘semak dan berserabut’ cara pemasangan dan laluan atasnya (overhead cabling), dari satu kedai ke kedai yang lain.Begitu juga di kawasan-kawasan perniagaan, hotel-hotel dan juga kawasan-kawasan yang agak ‘elit’ dan ternama.
Boleh dikatakan kesemuanya begitu.Pada tanggapan saya, mungkin setelah pengalaman Phuket ditenggelami ‘tsunami’ pada tahun 2004, menyebabkan pihak berkuasa mereka memilih untuk melaksanakan kesemua kerja-kerja ‘cabling’ hanyalah menggunakan cara ‘overhead’.Oleh sebab itulah pemasangan kabel dan wayar mereka berselirat antara satu sama lain.Jika mereka menggunakan cara menanam kabel (underground), mungkin lebih menyulitkan mereka jika ‘tsunami’ berlaku semula.
Manakala tempat saya menikmati makanan ketika di Patong ialah di Restoran Orient iaitu restoran milik pengusaha berbangsa Arab dari Mesir.Sempat juga saya menikmati juadah di restoran ini sebanyak dua kali.Harga juadahnya agak mahal bagi sebuah restoran yang agak selesa ruang dalamannya.Sebenarnya, banyak lagi restoran makanan halal yang lain, tetapi oleh kerana Restoran Orient ini terletak amat berdekatan dengan hotel yang saya menginap, jadi saya lebih suka menikmati makanan di sini sahaja.
Cuma, apabila saya sudah ingin berlepas pulang ke Kuala Lumpur, dan dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Phuket, barulah saya dibawa oleh pemandu teksi ke Restoran Muslim BanSangDuan yang terkenal di kalangan pengunjung Islam dari Malaysia.Makanannya pun amat lazat dan disediakan pakej untuk hidangan mengikut jumlah orang.Untuk hidangan 5-6 orang, hanyalah berjumlah 1300 Thai Baht, yang mana kira-kira RM130 sahaja nilainya.

Di antara tempat-tempat menarik yang sempat saya lawati dan kunjungi ketika berada di Phuket dan Patong ialah :

1.Pekan Patong, mengunjungi dan bersiar-siar juga membeli belah di gerai-gerai jualan cenderamata, majalah dan pakaian yang terdapat di sepanjang tepian pekan Patong, iaitu pada hari pertama saya sampai di sana, 08 Jun 2011/Rabu.Saya juga sempat mengunjungi Hard Rock Café Patong dan juga membeli sedikit cenderamata di sana.

2.Di Bandar Phuket pula lebih kepada kunjungan pada hari kedua dan hari terakhir dan dibawa oleh pemandu teksi /tuk-tuk ke pelbagai destinasi yang diminta.Iaitu pada 09 Jun dan 11 Jun 2011, hari Khamis dan Sabtu.

Di antara tempat-tempat yang saya kunjungi di Phuket ialah :

a)Zoo Phuket.Saya sempat menonton pertunjukan dan persembahan monyet yang bijak, pertunjukan buaya yang mendebarkan dan juga pertunjukan gajah yang bijak.Bayaran memasuki zoo ini ialah sebanyak 500 Baht.

b)Tempat Menunggang Gajah (Elephant Riding).Saya tidak berkesempatan menunggang gajah.

c)Thepprasit Honey (nama jenama /pengusaha dan penjual madu/penternak lebah yang terkenal) di Phuket.Saya membeli sebotol madu berharga 690 Baht di sini.

d)Sri Bhurapa Orchid.Iaitu tempat memproses dan menghasilkan produk dari biji kacang gajus (cashew nuts) dan juga produk yang berkaitan dengannya.Saya membeli beberapa paket kacang gajus pelbagai perisa.

e)Wang Talang International Lapidary Co. Ltd.Iaitu tempat penghasilan barangan seperti batu permata,emas dan perak, mutiara dari ladang ternakan tiram, produk sutera Thai, barangan kulit dan hiasan diperbuat dari kayu dan kulit juga pengeluar barangan hiasan rumah.Saya Cuma berkunjung dan melawat sahaja, sempat juga merakamkan kenangan bergambar dengan gadis Thai yang cantik, iaitu pekerja di Wang Talang ini.Hi hi hi….

f)Phuket Shooting Range.Iaitu tempat /padang menembak yang menggunakan senjata api sebenar.Saya tidak berani mencuba kerana tidak tahu/tidak arif menggunakan senjata api sebenar.

g)Phuket Racing Kart/Gokart.Saya berkesempatan memandu gokart di sini, sebanyak 12 pusingan kesemuanya, dengan bayaran 890 Baht.

h)Toko Grosir Phuket.Iaitu gedung menjual dan membuat T Shirt yang berkualiti dan murah berbanding di tempat lain.Saya membeli beberapa helai T Shirt di sini.

i)Muzium ThaiHua Phuket.Bayaran memasuki muzium ini sebanyak 200 Baht.Saya tidak masuk kerana terkejar-kejar untuk ke lapangan terbang dengan segera, bimbang agak terlambat, tak balik ke Malaysia lah jawabnya.Jadi satu hal pula nak beli tiket lain.

j)Karon View Point.Iaitu satu kawasan ‘tinjau pandang’ dari atas bukit yang membolehkan pengunjung melihat keindahan Phuket dari jauh.Pemandangan Phuket dari sini amat mengkagumkan.Ramai juga pelancong meluangkan masa yang lama di sini, khususnya jurufoto dan penggemar/pencinta alam sekitar dari pelbagai negara.

k)Pornthip Warehouse.Menjual bermacam jenis hasil laut dan barangan kering, juga menjual barang perhiasan yang dibuat dari resin (damar) dan juga pewter.Jangan tersalah beli dan pilih barangan di sini kerana ada di antaranya barangan berasaskan daging khinzir (pork).

l)Phuket City Park.Ianya merupakan sebuah taman awam yang siap disediakan perkhidmatan internet Wi-Fi.Ia juga terletak di tepian pantai, di mana terdapat orang memungut kepah.Ramai warga Thai yang berehat di sini, berkelah dan mencari ketenangan di taman ini.

3.Manakala ketika di Patong, saya menaiki ‘tuk-tuk’ untuk bersiar-siar ke kawasan pantai peranginan yang selain dari pantai Patong.Saya sempat mengunjungi ke pantai Kata dan pantai Karon.Pantai Kemala saya tidak sempat pergi.

4.Di Patong juga, wujud kedai lukisan yang pelukisnya begitu ‘artistik’ sekali.Saya sungguh kagum dengan hasil lukisan mereka.Ada beberapa lukisan bercirikan ‘adult drawings & arts’ dan mereka di sana dengan selamba sahaja mempamerkannya.

5.Jika anda ke Patong, kunjungilah kedai pakaian dan T Shirt Nee Shop,di Lot 88 tidak jauh dengan Hard Rock Café Patong, yang mana pekerjanya Mr. Pom dan Mr. Jackie amat bertolak ansur dalam memberikan harga yang kita mahu.Bahkan serendah 150 Baht (RM15) sehelai T Shirt yang berkualiti anda boleh beli dan miliki.Kedai lain belum tentu dapat harga serendah itu.

6.Pada hari kedua, 09 Jun 2011 saya mengambil pakej satu hari ke Khai Island, Monkey Island dan juga Phi Phi Island.Maya Island saya tidak pergi kerana keadaan laut yang bergelora ketika itu.

Secara ringkasnya, bolehlah dikatakan kunjungan saya ke Phuket ini memuaskan hati dan terasa jugalah akan keseronokannya ketika bercuti di sini.Walaupun harga barangan di sana rata-ratanya agak mahal dan kita perlu pandai menawar harga sehinggalah penjual bersetuju.Teknik menawar ini perlu bijak dan setelah menawar dengan harga yang kita kehendaki, kita mesti membeli barangan tersebut kerana ada sesetengah penjual yang memarahi kita jika tidak membeli barangan yang kita sudah setuju apabila sudah diberikan tawaran harga yang kita ingini.

Jadi, berhati-hatilah jika tidak mahu dimarahi, dikutuk dan ‘disembur’ oleh penjual barangan tepian jalan di Patong, ya !! Setelah menawar harga anda mesti membelinya !!

Saya sertakan juga beberapa gambar yang saya ambil ketika berada di Phuket.Mungkin ianya boleh dijadikan panduan, rujukan atau sekadar tatapan yang tidak seberapa di blog saya ini.

Selamat bertemu lagi di lain entri !

Tiada ulasan: