Iklan Nuffnang

Selasa, 29 Disember 2009

Kisah Kelakar Hujung Tahun 2009 ?

alriana5604@gmail.com - AL The One

Semua orang tahu apa yang diceritakan ini adalah perkara serius yang sepatutnya tidak terjadi di negara kita.Sehari dua ini ia mencetuskan kontroversi,dan menjadi tajuk utama media.Tetapi saya melihatnya sebagai kelakar.Susah hendak diterima akal yang waras bahawa perkara seperti ini boleh berlaku. Betul-betul macam dalam cerita kartun.Dua unit enjin pesawat,pemintas F-53 milik (TUDM) hilang dari gudang material udara 1(Matra 1),Sungai Besi ,pada tahun 2007.Nilai setiap enjin itu dianggarkan RM50 juta.Ertinya tentera udara kita kehilangan barang bernilai RM100 juta.Boleh diterima akal sekiranya yang hilang ialah jam tangan, telefon bimbit,komputer riba,atau barang-barang mewah lain.Sebab benda-benda ini kecil,ringan dan mudah disembunyinkan dalam saku,di bawah ketiak,atau disorokkan dalam kain sarung atau dalam kain telekung.Kehilangan benda-benda ini selalu kita dengar,tidak sedikit pun menghairankan.

Tidak juga saya hairan sekiranya yang hilang ialah basikal,motosikal,kereta,kerbau,lembu dan sebagainya.Kehilangan benda-benda ini juga adalah perkara biasa.Usahkan pencuri profesional,orang yang baru belajar jadi samseng jalanan pun boleh mencuri benda-benda itu.Malah,kalau orang curi enjin bot sangkut pun,kita boleh terima logiknya.

Tetapi,macam mana orang boleh 'curi' enjin pesawat TUDM? ini yang kita susah hendak percaya.Enjin kapal terbang bukan macam enjin bot sangkut.Enjin bot sangkut ringan,dan ukurannya tidak sampai setengah pemeluk.Mungkin enjin itu boleh dimasukkan dalam guni beras dan dipukul seorang sahaja.

Tetapi dua buah enjin jet pejuang tentu jauh lebih berat.Kalau Badang masih hidup pun dia tidak sanggup menerima upah mengangkat benda itu.Lima enam orang sekuat Badang pun rasanya tidak akan terangkat enjin pesawat itu.Sudahlah berat,saiznya pun tidak sekecil komputer riba atau enjit bot sangkut.Pasti tidak boleh disorokkan dalam kain sarung atau telekung.Pendek kata,bukan kerja mudah untuk mencuri dua enjin pesawat tersebut.

Lebih tidak masuk akal lagi ialah barang yang bernilai RM100 juta itu bukan di simpan di padang letak kereta Dataran Merdeka atau diletakkan di tepi Lebuhraya Utara Selatan.Tidak juga di biarkan berembun di tepi belukar Bukit Jelutong.Sebaliknya,enjin pesawat itu disimpan di gudang TUDM yang pasti dikawal ketat sepanjang 24 jam.

Macam mana barang begitu berat,berukuran besar pula,disimpan dalam kawasan tentera dan dikawal setiap saat oleh pengawal bersenjata canggih,boleh lesap?Apakah pencuri,atau pencuri-pencuri itu mengupah ahli silap mata tersohor David Copperfield untuk melarikan dua enjin jet berkenaan?Tidakkah itu kedengaran lucu?Perkara ini boleh berlaku hanya dalam siri kartun Doraemon.

Malangnya,apa yang sepatutnya terjadi dalam kartun dan dalam silap mata itu betul-betul terjadi di alam nyata.Walaupun tidak disebut dalam Laporan Audit Negara terkini,Perdana Menteri,Datuk Seri Najib Tun Razak,Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi,Ketua Polis Negara,Tan Sri Musa Hassan telah mengesahkan kehilangan tersebut.Malah,menurut Zahid selain RM100 juta,mungkin ada banyak lagi barang TUDM yang telah di lesapkan.

Soalnya sekarang siapakah penyangak profesional yang telah melakukan jenayah tersebut? Menurut Zahid 'sekumpulan pegawai-pegawai peringkat rendah'TUDM telah bekerjasama dengan orang awam dalam skandal terbaru negara ini.Apakah benar hanya pegawai-pegawai peringkat rendah yang membuat angkara?Hebat betul sarjan,dan koperal kita sehingga berjaya 'membutakan' mata pihak-pihak lebih tinggi.Mesti dia orang menggunakan ilmu pukau!

Tidak kira siapa melakukannya,'kecurian' dua enjin pesawat pejuang bernilai RM1OO juta itu adalah amat memalukan.ini adalah rompakan siang hari dan di hadapan mata yang betul-betul mencabar kewibawaan pihak keselamatan,khasnya di TUDM.Sekiranya enjin jet dalam dalam simpanan dan kawalan boleh di curi,diseludup atau dijual begitu mudah,apakah ada kepastian bahwa peralatan-peralatan keselamatan lain tidak akan digelapkan seperti ini dan apakah jaminan keselamatan negara secara keseluruhan?

Menurut menteri,siasatan telah di buat,mereka yang disyaki terlibat sudah dikenal pasti,dan pendakwaan di mahkamah akan dilakukan.Mungkin benar yang melesapkan enjin tersebut ialah koperal atau sarjan.Tetapi mesti ada semakan,tapisan dan kelulusan pihak lebih tinggi sebelum barang itu dikeluarkan dari gudang.Mengeluarkan enjin pesawat dari gudang tentu tidak semudah mengeluarkan duku langsat atau bawang putih dari pasar borong.

Rakyat kini berharap mereka yang terlibat secara langsung atau sipi-sipi-tidak kira prebet,koperal,sarjan atau pegawai tinggi,hatta jeneral-hendaklah di kenakan tindakan.Zahid menganggap mereka yang terlibat dalam skandal ini sebagai pengkhianat negara.Mereka patut dihukum seberat-beratnya.

Sekiranya tidak ada hukuman,juga tidak ada tindakan,sahlah yang terjadi ini betul-betul cerita kartun,dan satu lagi siri kelakar dalam slogan'MALAYSIA BOLEH'. Rakyat sudah puas ketawa menerusi sekian banyak'lawak bodoh'menerusi skandal demi skandal yang tidak dapat diselesaikan sehingga kini.Janganlah kes enjin pesawat TUDM ini menambahkan siri lawak bodoh negara!

Artikel asal : Abd Jalil Ali,Sinar Harian,24 Disember 2009.
Cartoonkini : Dari Zunar, Malaysiakini.

Tiada ulasan: