alriana5604@gmail.com - AL The One
Selamat sejahtera,
Hai rakan2 online & pengunjung blog saya yang dihargai,
Terlebih dulu saya kategorikan blog posting saya kali ini di bawah label Isu/hal Semasa.Walaupun ada kaitan dengan Agama Islam, tapi kerana isu ini hangat, saya fikir elok ia dijadikan Isu Semasa di Malaysia.
Jadi saya tidak masukkan posting ini di bawah label/kategori ‘Agama’.
Sebenarnya saya sudah lama tidak mahu mengarang pendapat atau memperkatakan mengenai isu semasa.Tidak terkejar oleh saya untuk asyik post mengenai isu semasa di blog saya ini.Sesekali, boleh lah.Lagi pun blog saya lebih kepada personal blog yang mencatat mengenai aktiviti dan cetusan fikiran saya untuk memori dalam kehidupan saya.Sekiranya usia diizinkan Tuhan sampai ke hari tua dan telah bersara nanti, dapatlah dikenang dan ditunjukkan kepada anak cucu sebagai sekadar cerita dan kenangan saya kepada mereka.
Ok, berbalik kepada pokok persoalan isu semasa yang saya ingin ulas ini, iaitu berkenaan Dobi Untuk Muslim sahaja.
Saya tidak ingin mengulas mengenai boleh atau tidak boleh.Sebabnya, sebagai peniaga dan pemilik, seharusnya kita mempunyai strategi perniagaan kita sendiri.Tidak menjadi pelik dan semacam sudah biasa jika kita lihat perniagaan Non Muslim yang memaklumkan menerusi ‘signage’ (papantanda) seperti ‘For Non Muslim Only’.Biasanya kita tidak kisah langsung dan tidak peduli peniaga tersebut meletakkan tanda begitu.Bagi kita, OK lah, fine, tak apa lah jika perniagaan /perkhidmatan/produk yang mereka jual adalah untuk bukan Muslim sahaja.Tidak menjadi isu pun bagi kita yang Muslim ini.
Namun, bila wujud satu perniagaan dari peniaga Muslim meletakkan tanda sebaliknya, iaitu ‘For Muslim Only’, tiba2 isu jadi hangat seluruh negara dan jadi ‘havoc’ sekejap.
Mengapa agaknya ?
Anda fikir sendiri kenapa jadi gempar berkenaan isu ini hingga mendapat perhatian golongan Di Raja dan juga VVIP ?
Biar saya terangkan satu persatu dan mohon anda baca sehingga habis posting saya,Ok.
Ia berkaitan hukum kerana si peniaga Muslim meletakkan sebab kenapa dia cuma mahu menerima pelanggan Muslim di kedai dobinya atas faktor ‘kesucian’.
Terlintas di hati kita semua kan, habis tu, bukan Muslim tidak suci lah ya ?
Panjang lebar jika kita mahu jelaskan perkara mengenai kesucian ini dari konteks agama Islam.
Apa yang saya boleh jelaskan di sini ialah saya telah dapatkan penjelasan dari pegawai agama/Timbalan Mufti sebuah negeri di Semenanjung mengenai hukum Fiqah berkenaan cara2 bersuci dan membersih dalam Islam atau disebut Toharah.
Saya bertanya kepada Sahibul Fadhilah Timbalan Mufti ini dan meminta penjelasan darinya secara tuntas.
Beliau menjelaskan berkenaan isu Toharah dan khususnya berkenaan Najis, terdapat beberapa syarat penting iaitu :
1.Najis mestilah jelas nampaknya – maksudnya najis mesti kita lihat sendiri, tidak boleh hanya anggapan, tekaan, agak2,syak,telahan/tekaan,was2 dan curiga.Ia mesti pasti dan nampak jelas.Tidak boleh dengan perkataan’entah2 ada najis, jangan2 ada najis,rasa2 ada najis.Semua syak,tekaan, kebimbangan atau cuma rasa was2 di fikiran tidak diterima dalam hukum menentukan wujudnya najis.
2.Najis mestilah jelas warnanya atau baunya – Ini tentu senang difahami.Jika No.1 tiada, contohnya tak nampak kesan air kencing tumpah terpercik,tapi ada warna nya kekuningan atau ada baunya hancing, maka wujud najis di situ.Jika tidak nampak (No.1),tiada warna dan baunya, maka dihukumkan tiada najis.
3.Najis mestilah ada sifatnya, lembik,pepejal,cecair atau mungkin ada rasanya – Ini juga senang kita fahami,ambil contoh jika minuman keras/arak, sifatnya cecair dan ada rasanya dan baunya.Kita tidak perlulah merasainya dengan lidah, tapi hanya dengan bauan kita tahu bau tersebut adalah bau arak.
Jadi bila wujud salah satu elemen dari 3 perkara ini barulah ia dikatakan wujudnya najis sama ada ia terkena pada pakaian kita, pada tubuh badan kita atau pun pada kenderaan kita.
Ok, dikaitkan pula bahawa Isu Dobi Untuk Muslim ini bahawa kita tahu memang Non Muslim tidak bersuci (ber’toharah’) sebagaimana orang Muslim.
Sebenarnya walaupun begitu,kita tidak melihatnya, kita tidak mencium (ada bau) yang kita dapati atau kita nampak secara jelas.Jadi hanya dengan kita membuat ‘assumption’ (andaian dan telahan/tekaan) sahaja ia tidak dikira jelas wujudnya najis.Jadi Syarak/Fiqah Islam tetap mengharuskan hukumnya orang bukan Islam untuk berkongsi mesin dobi dengan orang Islam ketika mencuci pakaian di kedai dobi/laundry.
Sekalipun,ini hanya untuk memperincikan lagi, sekiranya memang benar Non Muslim beristinjak menggunakan tisu tandas,tidak menggunakan air sebagaimana orang Muslim, ianya dibolehkan.Hukum beristinjak adalah ‘aula’ (lebih baik) menggunakan air sekiranya ada bekalan air yang banyak dan cukup.Sekiranya sengaja memilih beristinjak dengan kertas tisu pun dihukumkan harus.Bahkan jika mahu beristinjak dengan batu dan kulit kayu yang kering pun boleh.Hanya dengan tulang temulang haiwan sahaja tidak dibenarkan digunakan untuk beristinjak sebagaimana disabdakan oleh Rasulullah.
Selain itu ramai juga di kalangan kita masih tidak memahami konsep cucian menggunakan mesih basuh sama ada ianya mesin basuh automatic atau pun manual/separa automatic.Rujuklah di ceramah Ustaz Azhar Idrus yang terkenal di Youtube, beliau sudah menjelaskan panjang lebar bahawa basuhan menggunakan mesin basuh boleh menyucikan pakaian kerana adanya sistem ‘rinse’ (bilasan) dan juga sistem masuk dan keluar air yang baru (bukan recycle air yang sama).Tapi perlu diingatkan pakaian yang kita jelas nampak najis tidak boleh dibasuh bersama pakaian yang memang tidak terkena najis.Contohnya kain pelikat dan telekung solat wanita,janganlah dibasuh sekali di mesin basuh bersama seluar kanak2 yang masih kencing berak menggunakan lampin.Ini jelas tidak dibenarkan, tidak menyucikan dan hukumnya jadi najis kepada pakaian yang lain.
Di samping itu juga, jika kita kaitkan kembali kepada Isu Dobi Muslim ini, kita akan juga akhirnya nanti akan rasa ragu2 dan tertanya2, menaruh syak wasangka kepada isu2 lain yang berkaitan hidup kita.Seperti isu berkongsi menggunakan pinggan mangkuk, sudu dan garfu di kedai2 makan,restoran2,medan selera yang mana kita tidak tahu pun Non Muslim mana yang pernah menggunakan peralatan tersebut sebelum kita.
Begitu juga, kita akan amat risau jika membeli kenderaan terpakai dan kita menaruh syak wasangka,entah2 pemilk asalnya ialah Non Muslim dan juga membawa macam2 najis dalam keretanya, kemudian dijual kepada kita sebagai kenderaan terpakai.
Kita juga akan mempersoalkan sekiranya ada orang Muslim yang membeli rumah Non Muslim yang kita tidak tahu dan hanya meneka bahawa selama Non Muslim itu tinggal di rumah itu sebelumnya, entah2 mereka makan segala macam makanan haram dan terkena kepada bahagian dapur atau pun rumah tersebut.
Kita juga mungkin akan sukar menerima wang kertas atau syiling yang diberikan kepada kita di pasar2 (khususnya jika peniaga Non Muslim),kerana kita syak/khuatir bahawa wang kertas itu mungkin terpalit dengan kesan najis yang kita sentiasa bimbang dan asyik meneka sahaja wujudnya najis itu.
Sudahnya, kita sebagai Muslim sentiasa berprasangka, kita akan hidup dalam ‘paranoid’,demi menjaga kononnya kita anggap mencari dan menjaga kesucian.
Ini bukanlah cara Islam sebenar mengajar kita.Kita perlu faham dan sematkan perkara ini.Belajarlah dan tanyalah kepada mereka yang lebih tahu kerana dengan kita memiliki ilmu, kita tidak akan cepat bersetuju dengan sesuatu perkara secara membabi buta.
Memang saya akui, bagus untuk menjagai iman dan cara/strategi perniagaan pemilik dobi hanya untuk Muslim tersebut.Namun kita juga ada hukum Fiqah Toharah (Cara Bersuci) yang digariskan dan dipandu oleh ilmuan Islam.Ambillah hukum yang sederhana dan juga masih diterima/dibenarkan mengikut Islam berkenaan sesuatu isu.Jika sekalipun kita mahu mengamalkan Fiqah Tasawwuf (lebih terperinci dan menjaga setiap tingkah laku),namun janganlah sehingga boleh mengganggu keharmonian hidup di negara berbilang kaum.
Akhirnya sebagai penutup posting saya ini, saya bersetuju dengan pendapat dan luahan Baginda Sultan Johor, Sultan Ibrahim kerana Baginda sudah pun diperjelaskan oleh ilmuan Islam Baginda di Istana berkenaan isu ini.
Tuanku, walaupun patik bukanlah rakyat Johor, tapi patik mengerti hal ini dan patik bangga atas ketegasan Tuanku.
Mesej saya untuk semua pembaca blog saya ialah, Jangan kita meneka2 dan was2 dan juga berfikiran khuatir tentang sesuatu,biarlah ia jelas barulah kita boleh mengadilinya.
Sekian.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan