Iklan Nuffnang

Ada apa di Berjaya Hills ?

alriana5604@gmail.com - AL The One

Hai pals,

Ini kisah ‘travelog’ saya.Saya suka untuk kongsikan dengan pembaca blog saya dan juga rakan-rakan yang lain.

Anda tahu Berjaya Hills ? Alaa… Bukit Tinggi di Pahang tu la.

Tak pernah berkunjung ke sana ? Jangan risau, mari saya ceritakan mengenainya mengikut versi catatan dan nukilan saya.

Berjaya Hills atau nama lainnya Bukit Tinggi ialah satu lokasi tarikan pelancongan di negeri Pahang, berkonsepkan tanah tinggi seperti Cameron Highland, Genting Highland dan juga Bukit Fraser.

Namun, di Berjaya Hills ini, terdapat satu tarikan lokasi dan bangunan yang sengaja diwujudkan oleh pemajunya (sudah tentulah Berjaya Group), yang mengambilkira bentuk bangunannya sama seperti bangunan di Perancis (France).Bangunan tersebut dikenali sebagai Colmar Tropicale.



Ramai yang mengambil gambar dan mengabadikan kenangan di Dataran Colmar Tropicale ini.Kalau ‘Raja Sehari’ ambil gambar di sini lagi lah romantik di majlis persandingan gilang gemilang mereka, kan ?



Sebenarnya, ini adalah kali ke-2, saya berkunjung ke sini.Jika beberapa tahun dahulu, saya datang hanya berdua bersama isteri, kini sudah bertiga bersama isteri dan anak saya, Zarif yang baru berusia 2 Tahun.

Ok, berbalik semula kepada cerita Colmar Tropicale tadi….

Di hadapan pintu masuk bangunan Colmar Tropicale ini ada sebuah Jam yang melambangkan identiti bangunan ini.Saya tidak begitu pasti sama ada ianya jam yang sebenar atau pun cuma jam replika yang berfungsi atau tidak.Namun, ramai pengunjung yang bergambar berdekatan jam ini kerana keunikan bentuknya.



Secara umumnya, jika anda memandu dari Lebuhraya Karak-Kuala Lumpur, untuk memasuki ke lokasi Berjaya Hills ini, anda perlu mengambil simpang yang memaparkan papantanda ‘Berjaya Hills Resort’ di lebuhraya Karak-Kuala Lumpur.Kira-kira 15 minit pemanduan, ada satu ‘guardhouse’ yang akan anda lalui.Kemudian anda perlu pergi ke bahagian ‘lobby’ pendaftaran di Bangunan Colmar Tropicale untuk membuat bayaran masuk ke sini.Setiap orang dewasa dikenakan bayaran kemasukan RM12.00 seorang.

Setelah anda mendaftar masuk, anda boleh memilih sama ada ingin menggunakan kenderaan sendiri atau pun menaiki Trem (percuma) yang disediakan untuk bergerak bagi mengunjungi setiap lokasi tarikan pelancong di Berjaya Hills ini.

Di antara beberapa lagi tarikan pelancongan di kawasan Berjaya Hills ini, selain Colmar Tropicale ialah :

1.Japanese Tea House – Ini merupakan Rumah Jepun (sample/contoh) dengan suasana di hutan tropika.Pengunjung diberikan peluang menikmati minuman ‘Teh Jepun’ dan juga berpakaian Kimono.





Bayaran kemasukan tidak dikenakan di sini, melainkan anda ingin menikmati ‘Teh Jepun’ dan merasai untuk bergaya dengan memakai Kimono, anda dikenakan bayaran RM20.00 seorang.

2.Animal Park – Lokasi ini sesuai untuk kanak-kanak dan juga orang dewasa.Di antara haiwan yang ada di sini ialah Rusa Bintik (Doe), Rusa Indonesia, Tikus Belanda (Guinea Pig), Burung Merak, Keldai dan juga puluhan arnab yang diwujudkan sebuah Taman Arnab untuknya.Konsep Taman Haiwan ini ialah ‘terbuka’ iaitu pengunjung boleh mendekati haiwan-haiwan yang jinak.Namun, ada juga haiwan-haiwan yang diletakkan di dalam kandang/sangkar.



Rusa Bintik di sini amat jinak.Boleh dibelai-belai dan juga memberinya makan secara berdekatan.
Di kawasan Animal Park ini dikenakan bayaran kemasukan RM3.00 bagi seorang yang berumur 2 tahun ke atas.

3.Botanical Garden – Ianya ialah sebuah Taman Botani yang dipenuhi bunga-bungaan yang cantik dan jarang dijumpai di luar kawasan ini.Terdapat juga Spa Mewah untuk rawatan dan membelai tubuh di kawasan Taman Botani ini.





4.Meranti Park – Ianya kawasan penginapan agak mewah yang menyediakan ‘suites’ penginapan berkelas sederhana dan mewah, bagi pelancong/pengunjung luar yang ingin menginap di kawasan Berjaya Hills ini.Suasananya sungguh indah di atas bukit dan dikelilingi alam semulajadi.

5.Horse Trail – Di sini bagi yang berminat boleh mencuba menunggang kuda atau pun sekadar ‘menjamu mata’ dengan melihat kawasan ini.Anda boleh belajar menunggang kuda dengan bayaran tertentu, melihat pertunjukan equestrian dan juga aktiviti yang melibatkan tunggangan kuda yang lain.Kiranya, seolah-olah anda boleh menyaksikan dunia/suasana ‘ala-ala wild country’ lah di lokasi ini.

6.Aktiviti Bermain Golf – Biasa lah, kepada ‘golfers’ tu, di sini lah ‘syurga impian’ dan ketenangan untuk memukul bola golf di padang yang menghijau, ‘privacy’ dan tenteram !

7.Aktiviti Paintball – Kepada ‘paintballerz’ boleh lah menembak dan berperang sepuas-puasnya di sini !

8.Aktiviti Jungle Trekking – Kepada Kumpulan atau pun individu, dan juga jungle trekker lovers, ayuh ! terokai hutan tropika Berjaya Hills !

9.Camping – Perkhemahan perlulah mendapat kebenaran pengurusan Berjaya Hills, dan juga melapor diri kepada pihak sekuriti bagi tujuan ‘headcount’, mana tahu tiba-tiba berkhemah 5 orang, yang balik cuma 3-4 orang saja, kan ?, untuk tujuan keselamatan lah maknanya.

10.Nature Lovers, Photographer & Film Shooting – Ini ialah aktiviti yang ditujukan khas kepada mereka yang mencintai mendalam bidang masing-masing.Mengintai burung dengan ‘super zoom’ binokular,mengambil gambar dan merakam gambar dengan kamera beresolusi tinggi dan juga aktiviti Film Shooting/Modelling Shooting.

Boleh saya katakan, jika untuk kunjungan 1-3 hari, Berjaya Hills ini adalah sesuai dan seronok untuk dijelajahi dan diterokai keindahan, kedamaian, kehijauan dan kenyamanan udara dan alam sekitarnya.

Namun, saya belum lagi pernah menginap dan bermalam di mana-mana hotel, suites atau resort di kawasan Berjaya Hills ini memandangkan ianya lokasi berdekatan dan destinasi (jalan nya) menghala ke ‘hometown’ saya di Temerloh.Saya cuma pergi dan berkunjung ke sini setengah hari sahaja bersama keluarga.



Walaupun Berjaya Hills tidaklah se gah dan tersohor seperti Genting Highlands yang dipenuhi pelbagai aktiviti dan juga permainan Taman Tema ( Theme Park)nya, namun Berjaya Hills tetap memiliki keunikannya yang tersendiri iaitu masih mengekalkan keseimbangan ekologi dan kehijauan lokasinya.Boleh dikatakan, ianya masih ‘virgin’ dan dihijaui Hutan Tropika yang menyejukkan suasana dan membekalkan kesegaran oksigen untuk pengunjung/pelancong yang bertandang ke sini.

Singgah lah ke Berjaya Hills !


Tiada ulasan: