alriana5604@gmail.com - AL The One
Salam sejahtera dan selamat berkunjung kembali bagi menikmati celoteh di blog saya ini.
Saya suka memulakan ‘posting’ saya pada kali ini dengan satu pertanyaan.Apakah yang benar-benar anda dan kita semua harapkan jika kita pergi melancong dan menikmati percutian?Tak kiralah ianya sebuah percutian dalam negara atau di luar negara.Apakah fokus dan tujuan utama anda?
Adakah anda mendambakan sebuah penginapan yang selesa, berkelas tinggi dan berprestij?
Atau pun anda lebih utamakan di lokasi anda pilih itu terdapat banyak tempat-tempat menarik untuk dilawati?
Atau anda lebih suka tempat yang terdapat banyak pilihan pelbagai jenis makanan, santapan, juadah dan masakan ?
Atau anda suka lokasi yang mempunyai pusat-pusat hiburan seperti ‘pub/lounge’, ‘night club’,tari menari dan juga hiburan dewasa?
Atau pun anda suka lokasi yang privasi, sunyi dari hingar bingar kesibukan kota?
Anda sendiri tentunya tahu dan boleh menentukan kecenderungan anda.
Berceloteh mengenai perkara ini, lain orang lain pandangan dan pendiriannya.Saya suka memilih, jika saya pergi bercuti dan melancong sama ada di dalam atau pun di luar negara, saya akan mencari di lokasi percutian saya itu ialah terdapatnya banyak tempat-tempat menarik untuk dilawati.Saya akan ‘browse’ di internet, membuat sedikit kajian, mendapatkan maklumat tempat-tempat menarik untuk dikunjungi,bertanya rakan-rakan yang pernah berkunjung ke situ dan kemudian membuat keputusan sama ada ingin berkunjung ke situ atau pun tidak.
Ramai di antara kita sudah sedia maklum dan tahu mengenai Bukit Fraser, yang terletak di Pahang, bukan? Saya percaya ramai yang sudah pernah berkunjung dan menikmati percutian di sana.Sama ada yang sudah pernah ke sana atau pun tidak, ramai yang bersikap dan berfikiran agak sinis dan ‘less information’ berkenaan Bukit Fraser.Saya bukanlah bekerja di agensi pelancongan mempromosikan Bukit Fraser.Saya cuma penulis blog picisan yang mencoretkan suara hati saya yang sukakan pelancongan, bersiar-siar,mengarang artikel dan juga melontarkan idea di blog saya yang tidak dikenali ini.Sekurang-kurangnya ia sebagai hobi, diari dan juga tatapan untuk saya dan orang lain yang sudi menjengah ke blog ini.
Seringkali kita bersikap ‘prejudis’ dan ‘stereotaip’ terhadap lokasi-lokasi pelancongan yang tidak selari dengan keinginan kita lantaran kita rasakan tempat-tempat tersebut kurangnya/tiada terdapat apa yang kita minati atau pun suka.
Lihat contoh-contoh dan andaian-andaian ini :
1.Bukit Fraser : Apa sangat terdapat di Bukit Fraser? Penginapan yang agak mahal, lokasinya jauh di atas bukit/tanah tinggi, tiada tempat tarikan atau lokasi untuk jalan-jalan sangat, tiada pilihan makanan enak dan tiada restoran-restoran yang terkenal.Pasangan berbulan madu sesuai lah bercuti ke sini.
2.Genting Highland : Buat apa ke sana? Tempat orang berjudi.Orang ramai dan penuh sesak.Hari minggu dan cuti sekolah tiada hotel penginapan yang harga berpatutan,harga makanan dan tiket permainannya mahal, dan lain-lain lagi *‘mehnah’nya.
*mehnah=bermaksud ‘ragam’.
3.Cameron Highland : Isu biasa kita dengar, di sana sudah tidak bersuhu sejuk seperti dahulu lagi, Hutan Lojing sudah banyak ditebang, tak perlu melancong ke sana, setakat nak beli dan menikmati strawberi, beli saja di hypermarket Tesco atau pun Giant, di bahagian jualan buah-buahan dan barangan sejukbeku.
4.Langkawi : Ini lokasi orang datang berkunjung membeli belah pinggan mangkuk di Haji Ismail Group (HIG) atau pun di Idaman Suri.Suasana di sana juga banyak maksiat ditepi-tepi pantai, pelancong-pelancong luar negara suka berbogel dan meminum arak serta berpesta di tepian pantai.
5.Kota Kinabalu : Ini lokasi terkenal untuk ‘mount climber’, orang nak pergi mendaki Gunung Kinabalu sesuai lah untuk ke sini, Bandar Kota Kinabalu apalah yang ada sangat tarikannya, berkunjung ke sini hanyalah sekadar boleh melihat pasar Filipina dan membeli ikan terubuk masin sahaja.
Jadi, sekarang anda lihat sendiri, kebanyakan atau ramai dari kita mempunyai ‘mind set’ begini, bukan?Ini baru sedikit contoh dari saya berdasarkan penelitian saya dan mendengar luahan-luahan melalui percakapan dari rakan-rakan dan juga saudara mara.Baik ianya cuma lokasi pelancongan di dalam atau di luar negara.Jika lokasi di luar negara, lain pula penilaiannya dari sesetengah atau segelintir individu sama ada yang telah berkunjung atau pun belum berkunjung ke sana.
Anda pernah mendengar orang yang ber ‘persepsi’ mengatakan Phuket ialah tempat segala macam maksiat, bukan? Singapura tidak sesuai dikunjungi pelancong Muslim, kononnya sukar untuk bersolat di sana?Makanan halal juga sukar didapati di sana?Tokyo pula ialah bandar yang paling mahal kos sara hidup dan tak sesuai melancong ke sana?Kota London yang sentiasa hiruk pikuk dengan kebisingan, yang dunianya sentiasa sibuk dan mengejar masa, lantaran melancong di sana dirasakan kurangnya ketenangan dan privasi?Kota Paris yang cuma gah dengan Eiffel Tower nya namun penduduknya sukar berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris dan lebih suka bertutur dalam Bahasa Perancis?
Inilah yang dikatakan ‘persepsi vs realiti’ terhadap sesuatu tempat/lokasi pelancongan yang sering kita dengar dan alami sendiri.
Berbalik kepada tajuk asal, baru-baru ini saya berkesempatan berkunjung ke Bukit Fraser selama 3 Hari 2 Malam bersama 6 orang ahli keluarga yang lain.Bolehlah ianya dianggap sebuah percutian keluarga dan merupakan ‘penutup’ kepada program percutian saya untuk tahun 2011, memandangkan percutian ini berlaku pada akhir tahun 2011.
Berikut ialah tempat-tempat yang sempat dikunjungi oleh saya bersama keluarga, ketika melancong ke Bukit Fraser.
1.Dataran Bukit Fraser dan Menara Jam – Ini lokasi wajib disinggahi/dikunjungi, sebabnya ia adalah lokasi pertama apabila semua pengunjung sampai/tiba ke sini.Menara Jam Bukit Fraser dikenali ramai sebagai ‘ikon’ yang menggambarkan keseluruhan identiti Bukit Fraser itu sendiri.Selain itu, binaan bangunan-bangunan bercirikan rekabentuk ala-la kolonial Inggeris juga banyak terdapat di sini.Rata-rata pelancong-pelancong yang ramai bergambar kenangan di sini, terdiri daripada pelancong tempatan ( termasuklah saya ), terdapat juga pelancong dari Singapura,dari Amerika, dari UK, dari Taiwan, dari Thailand dan juga Indonesia.Kawasan Dataran Bukit Fraser ini agak luas, pengunjung boleh melihat pemandangan yang cantik, padang golf yang luas dan bersih menghijau,diserikan dengan cuaca yang sejuk dan berkabus,hotel penginapan Shahzan Inn dan Puncak Inn dapat dilihat samar-samar dalam cuaca berkabus dan sungguh menyegarkan suasana bagi pengunjung yang ingin menikmatinya.
2.Allan’s Water – Ini ialah sebuah lokasi tasik (bukan buatan manusia), yang terbentuk secara semulajadi dan dijadikan lokasi tarikan pelancong di bawah kendalian Perbadanan Kemajuan Bukit Fraser (PKBF).Di sini pelancong boleh mencuba aktiviti ‘paddle boat’, yang dikenakan tiket RM6.00 untuk 15 minit.Suasana di sini begitu berkabus dan sungguh sejuk cuacanya.
3.The Paddock – Ianya merupakan sebuah lokasi rekreasi dan juga terdapat lapang sasar untuk aktiviti memanah, menyumpit dan menunggang kuda. Untuk tiket menyumpit dikenakan RM5.00 untuk 10 anak sumpit dan memanah pula tiketnya RM8.00 untuk 10 anak panah.
4.Ye Olde Smoke House – Di sini sungguh klasik dan indah sekali.Tarikannya ialah bentuk bangunannya yang bersejarah dan juga ‘scottish bread’nya, yang dikenali sebagai ‘scone’ (skon), yang sungguh enak dinikmati bersama kopi, sebagai hidangan sarapan pagi ataupun minum petang.
5.Air Terjun Jeriau – Air terjun ini agak jauh kira-kira 4 kilometer dari Taman Awam Bukit Fraser.Air terjun ini cantik juga, ada kawasan kolam tadahan yang cetek dan ada juga kawasan kolam yang agak dalam sesuai untuk berenang dan mandi manda.
6.Taman Awam Bukit Fraser – Sebuah kawasan yang dibina untuk pelancong dan pengunjung berehat, bersantai bersama keluarga.Taman permainan kanak-kanak juga disediakan di sini.Taman Awam ini terletak bersebelahan dengan Medan Selera Bukit Fraser.
7.Medan Selera – Di sini menawarkan pelbagai jenis masakan dan pelbagai gerai atau restoran yang boleh dipilih oleh pengunjung untuk menjamu selera.Makanan ditawarkan merangkumi masakan tempatan, masakan Thai/Siam,masakan Barat,masakan sampingan (side dishes/cuisines), masakan Cina (di Restoran Cina),satay, burger,roti Arab,pelbagai jenis bubur dan juga buah-buahan.Di Medan Selera ini juga terdapat kedai-kedai cenderamata yang memenuhi ruang legar, dan juga kedai runcit menjual pelbagai barang keperluan harian juga ada di sini.
8.Taman Flora – Ianya sebuah kawasan tanaman bunga-bungaan dan sayuran, namun lebih kepada tanaman bunga-bungaan yang dibina secara tertutup.Di sini juga ada ditanam pokok strawberry.Bunga-bungaan yang ditanam juga dijual hanya dalam bentuk’hidup’ iaitu dibeli dengan pokoknya sekali dan berpasu.Menurut penjaga taman ini,Taman Flora Bukit Fraser ini tidak menjual bunga-bungaan yang dipotong dari pokonya dalam bentuk gugusan jambak (bouquet) kepada pembeli yang ingin membelinya.
9.Laluan Untuk Aktiviti Merentas Hutan – Ianya dikenali sebagai ‘trail’, iaitu laluan-laluan khusus yang telah dirintis dan dipetakan oleh Perbadanan Kemajuan Bukit Fraser (PKBF) bagi pelancong yang ingin melakukan aktiviti lasak dan separa lasak seperti ‘jungle tracking’,perkhemahan di hutan,aktiviti khusus berkumpulan seperti sesebuah syarikat yang ingin melaksanakan ‘kem bina insan’ atau ‘kem bina ketahanan diri’ untuk pekerja-pekerja dan yang seumpamanya.Laluan atau ‘trail’ ini dibina bagi tujuan mengelakkan pelancong yang memasuki hutan tidak sesat.Selain itu, di sini juga boleh meneropong dan mengintai pelbagai spesis burung-burung yang wujud di sini.Bagi mereka yang menggemari aktiviti mengintai burung, tidak menjadi masalah besar untuk mereka bersiap sedia membawa juga memiliki binokular atau teropong yang mahal dan berkebolehan untuk ‘zoom’ lebih dekat untuk melihat burung-burung yang pelbagai spesis.
10.Pusat Penerangan dan Lokasi Mengintai Burung – Ini disediakan khusus kepada pelancong-pelancong yang berkeinginan melakukan aktiviti ini.Namun, ianya tertakluk kepada bulan-bulan dan musim-musim tertentu yang membolehkan pengunjung dapat melihat pelbagai spesis burung.Ini kerana musim penghijrahan burung-burung dan terbang singgah di hutan Bukit Fraser bergantung kepada cuaca, persekitaran,sumber makanan, keadaan alam semulajadi hutan dan juga tiada gangguan dari manusia secara fizikal.
*Saranan saya kepada mereka yang bakal ke Bukit Fraser ialah;
1.Sediakan wang tunai yang cukup, kerana di sana mesin ATM untuk pengeluaran wang agak terhad, hanya terdapat di satu tempat sahaja.Dikhuatiri di musim cuti persekolahan dan pengunjung yang ramai ke sana, wang tunai di mesin ATM mungkin akan kehabisan.
2.Isikan tangki kenderaan anda dengan bahan api yang mencukupi/penuh.Pastikan di lokasi stesen minyak/gas terakhir sebelum naik ke Bukit Fraser, tangki kenderaan anda diisi penuh dengan petrol atau diesel.Di Bukit Fraser ini belum ada stesen minyak/gas dibina setakat hari ini.Namun jika untuk kecemasan dan benar-benar kenderaan perlu diisi bahanapi, minyak petrol yang dijual di dalam botol bersaiz 1.5 liter ada dijual di kedai runcit dengan harga RM3.50 sebotol.
3.Jika inginkan pelbagai jenis makanan yang enak dan banyak pilihan mengikut selera, di samping harga makanan yang berpatutan, nikmati saja juadah di Medan Selera.Jangan ke gerai/restoran milik individu di luar kawasan ini (di luar Medan Selera), kerana harganya yang lebih mahal dan masakannya yang tidak enak.Ada 2 restoran dan kedai makan milik individu yang ‘’#@%$” (tak sedap langsung masakannya, dan mahal harganya) terdapat di Bukit Fraser ini.Tak perlu dinyatakan nama restorannya, untuk melindungi aib pemilik restoran tersebut.
4.Baju sejuk perlu dibawa dan dipakai sentiasa.Percaya atau tidak, kulit dan wajah pun hampir menjadi kasar dan seperti menggelupas kerana tahap cuacanya yang sungguh sejuk.Khususnya di kawasan Dataran Menara Jam Bukit Fraser.
5.Jika menginap di hotel/resort yang terletak agak jauh dari Dataran Menara Jam, dan perlu melalui jalan yang bengkang bengkok, nyalakan lampu kenderaan anda ketika memandu dan bunyikan hon agak kerap (lebih-lebih lagi memandu di waktu malam) untuk mengelakkan berlakunya perlanggaran dan kemalangan.Ada sesetengahnya, selekoh-selekoh yang benar-benar kita sebagai pemandu langsung tidak dapat melihat ke hadapan kerana kabus yang tebal dan juga dilindungi tembok/benteng batu/bukit yang ditarah/dipotong untuk dijadikan jalan.
Inilah sebahagian realiti pengalaman saya dan keluarga setelah berkunjung ke Bukit Fraser.Semoga ianya dapat memberikan sedikit panduan kepada sesiapa yang ingin berkunjung ke sana nanti.Tidak rugi berkongsi ilmu dan pengalaman melancong, bukan?
Oleh itu, sebagai rumusannya di sini ;
Buatlah penilaian yang adil dan bukannya berdasarkan ‘persepsi’ kita semata-mata.Sama ada kita sudah berkunjung atau pun belum berkunjung ke sesuatu tempat tersebut, kita perlulah bersikap ‘fair and square’.Lihat, dengar,amati, rasai,kaji,teliti dan mendapatkan maklumat yang positif adalah cara-cara yang betul bagi kita memilih atau ingin menikmati sesuatu/sesebuah percutian yang menyeronokkan.Walaupun ianya tidaklah merupakan sebuah lokasi pelancongan yang mengandungi semua impian yang kita harapkan, namun sekurang-kurangnya ia menjadi ‘satu lembaran ilmiah’ bagi kita apabila pernah berkunjung ke mana-mana lokasi yang pada mulanya kita ber ‘persepsi’ negatif.
Bukankah aktiviti melancong juga boleh menambahkan ilmu kita?Anda masih ingat lagi, di ‘posting’ saya sebelum ini, pepatah biasa kita dengar, ‘’Jauh perjalanan, luas pengetahuan’’.
Akhir sekali untuk kali ini, saya sudahi dengan satu perumpamaan ciptaan saya sendiri, yang agak panjang ungkapannya iaitu,
‘’Sebuah buku pelancongan yang kita baca, sememangnya dapat menerangkan kita dan memberikan gambaran kepada kita mengenai sesuatu tempat untuk kita kunjungi,namun pengalaman kita melihat sendiri dan merasai sendiri akan sesebuah lokasi pelancongan yang kita kunjungi (walaupun tanpa rujukan dari pembacaan buku) tidak semestinya cukup untuk digambarkan/ditulis dalam hanya sebuah buku’’.
Tidak terlalu rumit untuk memahami ungkapan ini, bukan?
Sehingga bertemu di lain masa.
Sekian.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan