alriana5604@gmail.com - AL The One
Ah haaa….bersua lah lagi kita ya.Walaupun hanya di alam maya menerusi blog, saya juga mengambil kesempatan menyusun sepuluh jari memohon ribuan ampun dan maaf sempena bulan Syawal dan kita masih dalam musim perayaan.Maafkanlah segala kesalahan saya jika menyinggung mana-mana pembaca, pelawat dan pengikut blog saya ini.
Isi entri saya kali ini, anda semua dapat teka, kan? Mesti anda fikir saya ini ‘Mamat Jiwang’ sebab sampai tahap membuat entri berkenaan filem Hindi.Maklumlah, bagi kebanyakan orang, filem Hindi ini tidak lari dari kisah cinta, kasih sayang, aksi romantik dan juga ber ‘genre’ sentimental.Jadi, mereka kiranya agak skeptikal dan menganggap kesemua peminat filem Hindi dan yang bercerita mengenainya ialah ‘Mamat Romeo’ atau ‘Mamat Jiwang’.Umpama warna merah jambu dan wanita lah.Jika warna merah jambu diminati lelaki, mereka akan dicop ‘Mamat Jiwang’, Romeo atau berjiwa sentimental yang ‘tangkap leleh’…. (heii.. apa daa aku melalut ni… ).Tapi jika warna merah jambu disukai wanita ianya normal dan sinonim dengan kaum Hawa.
Ok, sebenarnya saya mahu kita semua mengambil iktibar di sebalik kebanyakan filem-filem cinta Hindi dan saya mahu bercerita mengenainya secara umum.Pernahkah anda terfikir, bagaimanakah garapan, pengkisahan dan plot (jalan cerita) pada sesebuah filem Hindi kadang-kadang begitu ‘kena’ dengan kehidupan sesetengah orang di alam realiti?
Mungkin ada yang sudah ramai berumahtangga membaca entri saya ini.Dan tidak kurang juga yang masih bujang dan anak dara.Kepada yang pernah melalui liku-liku mempunyai komitmen hubungan cinta sebelum berkahwin semestinya faham apa yang saya maksudkan.
Kita ambil contoh filem Hindi berjudul ‘Dhadkan’.Lakonan Akshay Kumar, Sunil Shetty dan Shilpa Shetty.Ianya mengajar kita supaya menerima takdir jodoh kita walaupun kita mengahwini orang yang tidak kita cintai.Selain dari itu, ianya juga memberi tauladan bahawa tidak semua orang yang hidupnya dulu susah dilanda kemiskinan, bercinta dengan seorang wanita anak seorang hartawan, akan menjadi baik, lurus dan betul kehidupan masa hadapannya.
Sifat dendam membara seorang si miskin terhadap si hartawan yang menolak hubungan cinta dengan anak gadisnya, bisa membuatkan si miskin berubah, bertekad berusaha sehingga berjaya dan mempunyai kedudukan.Namun, kerana dendam, dia telah hampa dan gagal dalam cintanya.Sebaliknya, si suami yang tidak dia kenali hati budinya, bersikap baik kepadanya lantas di hati si suri membuahkan bunga-bunga kasih kepada suami yang selama ini dianggap orang asing baginya.
Umumnya, bercinta dengan orang lain, berkahwin dengan orang lain menjadi lumrah kehidupan di alam realiti hari ini.Bak kata pepatah, ‘mengharapkan panas sampai ke petang, rupanya hujan di tengahari’.Hidup di alam realiti ini juga sebuah lakonan pentas sementara kita masih berada di dunia ini.Ianya umpama filem Hindi juga lagaknya.
Filem Hindi ‘Dilwale Dulhania Le Jayenge’ lakonan mantap Raja Bollywood, Shah Rukh Khan dan Kajol bisa saja menjadi tauladan dan rencah asam garam kehidupan di alam realiti yang mengisahkan liku-liku kesukaran yang amat perit dalam mendapatkan cinta dan restu keluarga si gadis.Walaupun kisahnya berakhir dengan ‘happy ending’, namun jerih payah yang dilakukan oleh si teruna mendapatkan cintanya dan restu keluarga kekasihnya membuatkan penonton filem ini merasakan ianya benar-benar berlaku di alam realiti.Bukan senang mendapatkan cinta sejati, bro…. (eh, jiwang ker, aku ni?).
Di alam realiti pula, saya menyeru, terimalah jodoh kita jika ianya sudah ditakdirkan.Binalah hidup baru.Meroboh dan memusnahkan sesuatu lebih senang berbanding membina.Tiada satu pun yang sempurna di dunia ini.Yang sudah, sudahlah, biarkanlah ia berlalu dalam lipatan sejarah diri kita masing-masing.Ambil lah tauladan seperti dalam filem Hindi ‘Aab Aab Laut Chalen’ lakonan Akshay Khanna dan Aishwarya Rai.Janganlah kita lupa diri dan pergi jauh mencari sesuatu yang kita impikan sehingga kita lupa yang sebenarnya ‘jodoh yang baik’ buat diri kita berada di depan mata kita sendiri.
Kepada yang masih bercinta, sedang bercinta, ingin bercinta, saya harapkan anda buatlah keputusan bijak.Harungilah segala rintangan dalam membina hubungan ke jinjang pelamin.Terimalah pasangan anda seadanya dan redha lah.Jangan bersikap negatif, menaruh dendam dan juga bersikap tidak jujur kepada pasangan masing-masing.Yang penting hubungan anda perlulah berteraskan sikap ikhlas dan adanya niat untuk benar-benar berumahtangga.
Manakala kepada yang sudah berumahtangga, bersabarlah dan berdoalah dalam mengeratkan hubungan di alam rumahtangga.Kita boleh saja berusaha mengejar dan mencari kesempurnaan tetapi kita dan pasangan kita tidak akan pernah menjadi sempurna 100% dalam apa jua perkara.Kerana yang Maha Sempurna itu hanyalah Tuhan Yang Maha Esa.
Walaupun bukan sempena apa-apa bulan atau hari berkasih sayang seperti Valentine Day atau Hari Ibu atau pun Hari Bapa, di sini saya ingin menyampaikan mesej;
‘Binalah hubungan berteraskan kasih sayang yang ikhlas, bukan kerana rupa, harta atau pun kekayaan dan juga kedudukan’.
Semoga anda bertambah bahagia dan ceria !
Tiada ulasan:
Catat Ulasan