alriana5604@gmail.com - AL The One
Anda suka meratah makanan?Mesti sedap, bukan?Ha ha ha….saya pun suka meratah makanan.
Mengapa kebanyakan orang gemar meratah makanan?
Perbuatan meratah sebenarnya memang enak, lebih-lebih lagi jika makanan tersebut merupakan makanan kegemaran kita.Saya menganggap semua orang ada tabiat suka meratah makanan sama ada di kalangan lelaki atau wanita.
‘Meratah makanan ’ juga boleh kita definisikan sebagai perbuatan memakan sesuatu jenis makanan yang dimasak secara terus dan tidak dimakan bersama-sama dengan makanan utama yang lain.Sebagai contoh, jika kita meratah ayam goreng, kita memakannya sehingga habis tanpa kita memakan nasi.
Jika dulu-dulu, tabiat suka meratah makanan ini agak dibenci atau kurang disukai oleh orang-orang tua kerana ianya mencerminkan sikap kurang rasa hormat.Seingat saya ketika di zaman kanak-kanak, jika saya meratah ayam goreng yang dimasak oleh ibu saya, saya akan ditegur dan dimarahi.Mungkin ada kebaikan di sebaliknya.Mungkin ibu saya mahu mengajar saya agar menikmati makanan bersama-sama dengan ahli keluarga yang lain dan jangan mencuri-curi makan terlebih dahulu.Kemungkinan juga, faktor penjimatan lauk pauk dan jumlah makanan yang terhad.Dulu, hidup kami tidaklah mewah.
Kini, budaya meratah makanan (jika boleh dikatakan ‘budaya’ lah),telah diperluaskan dan dikomersilkan.Lihat sahaja lah di mana-mana restoran makanan segera seperti KFC, Mc Donald, Pizza Hut, Merry Brown,Kenny Rogers Roaster dan lain-lain.Hanya terpulang kepada kita, masuk ke restoran-restoran tersebut, makan, meratah dan bayar sahaja.Ratahlah sepuas-puasnya makanan kegemaran kita itu.
Tidak ketinggalan juga di restoran-restoran terkenal yang bukan dikategorikan restoran makanan segera.Macam-macam menu yang kita boleh minta dan meratahlah sepuas hati dan sehingga kita kenyang.
Berikut saya senaraikan beberapa jenis/kategori makanan yang enak diratah, mungkin ada di antaranya agak pelik, iaitu :
1.Ayam goreng – ini semestinya lah, semua orang gemar meratahnya, kalau tidak, mana mungkin wujud KFC, kan?Tapi kalau ayam dibakar dan dipanggang pun enak juga diratah… (tertelan air liur ni)…..
2.Daging goreng – jika digoreng begitu saja, buat kebab atau daging salai semestinya enak diratah.3.Kerang bakar - amat enak diratah bagi yang menggemarinya.4.Gulai ketam dan gulai udang - ada segelintir yang tidak suka memakannya bersama nasi, lebih enak diratah begitu sahaja untuk merasai kemanisan gulai tersebut.5.Burung puyuh goreng - lebih enak rasanya dari ayam goreng , rasa isi dagingnya lebih terserlah jika diratah begitu saja.6.Mee segera - bunyi macam pelik, kan? Ada segelintir yang suka meratah mee segera dan dicampurkan perisa di dalamnya dan dimakan kering tanpa rendaman air panas/mendidih.
7.Serbuk Milo atau serbuk coklat/malt - ini pun agak pelik, kanak-kanak suka meratah serbuk Milo dan serbuk coklat malt.Ada juga kah orang dewasa seperti kita meratah serbuk Milo? :)
8.Ikan - meratah ikan memang lah enak.Lebih-lebih lagi ikan kegemaran kita.Isi ikan memang kaya dengan protein.Jika ikan dibakar dan dipanggang lagilah enak meratahnya.
9.Telur - ini merujuk kepada telur ayam atau telur ikan.Ada kalangan orang dewasa suka meratah begitu sahaja telur goreng dadar atau telur goreng mata kerbau.Begitu juga telur ikan yang besar saiznya memang enak digoreng atau digulai dan diratah begitu saja tanpa dimakan bersama nasi.
10.Daging burger dan hotdog - kini ada tabiat segelintir dari kita suka meratah daging burger dan hotdog yang digoreng dan dipanaskan.Saya juga suka tapi sudah lama tidak menikmatinya.Memang enak rasanya bagi sesiapa yang menggemari walaupun tidak makan bersama roti burger/roti hotdognya.
Jadi beginilah selera kita sebagai manusia normal dan sihat.Walaupun tidak semua makanan yang enak diratah yang saya senaraikan di atas menjadi kesukaan anda, namun ianya adalah realiti bahawa manusia memang gemar meratah makanan tanpa mengira faktor jantina,peringkat usia dan juga taraf hidup.
Tanpa kita sedari, perbuatan meratah makanan sebenarnya sudah kita warisi semenjak berkurun-kurun lamanya.Bahkan, kita mewarisi tabiat meratah makanan ini mungkin dari leluhur (ancestor)kita dulu-dulu, iaitu bermulanya penemuan api, manusia yang hidup dengan memburu binatang dan hasil buruannya dijadikan makanan dengan memanggang dan meratahnya.
Saya paling suka meratah ayam goreng dan gulai ketam, anda pula bagaimana?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan