Iklan Nuffnang

Berikanlah Penghargaan Kepada Golongan Bawahan

alriana5604@gmail.com - AL The One

Salam sejahtera,

Rakan-rakan blogger & juga pengunjung blog yang budiman,

Mari kita tatapi dan hayati juga sama-sama memikirkan realiti hidup golongan bawahan.Bukanlah saya bermaksud untuk memalukan atau pun membuat/mereka-reka cerita berkenaan golongan tersebut, sebaliknya saya mahu kita semua menginsafi, menghormati dan juga memberikan secebis rasa pengiktirafan kepada mereka.

Walaupun saya ini bukanlah boleh digolongkan dalam golongan bawahan, kerana saya lebih kepada kategori golongan pertengahan/sederhana, namun saya mencoretkan rasa ini adalah sekadar mengemis rasa simpati dan juga rasa kasihan belas daripada anda semua yang mempunyai perasaan kemanusiaan.

Sebenarnya jika dilihat dari segi konteks seharian kita bekerja di mana-mana, baik ianya di bangunan pejabat swasta, GLC atau pun kerajaan,di industri perkilangan, di bangunan kediaman atau lot kedai/lot perniagaan atau pun di industri pelancongan, di dalam bangunan hospital dan lain-lain, kita seringkali terserempak secara berdepan dengan golongan bawahan ini.


Mereka ini di antaranya, boleh saya senaraikan seperti berikut :

1.Pengawal keselamatan (yang kita selalu panggil ‘Jaga’ atau ‘Pak Guard’)


2.Pencuci atau Tukang Bersih Kawasan/Persekitaran (yang kita gelarkan ‘Mak Cik Cleaner’), ini termasuk juga Tukang Kebun (Gardener)

3.Pemandu (yang kita enteng memanggil mereka ‘Drebar’ atau ‘Driver’)

4.Penyambut tetamu (yang kita suka gelar ‘Orang Kaunter Pertanyaan’)

5.Pembantu pejabat (yang amat sinonim kita panggil ‘Ofis Boy’ atau ‘Tea Lady’)


6.Pemungut/pengutip sampah (yang kita kadang-kadang gelar mereka ‘Orang Alam Flora’ atau PBT)


7.Penghantar surat (yang kita sudah boleh terima menggelarkan mereka ‘Budak Dispatch’atau Postman)

8.Pencuci kereta/kenderaan (yang kita gelar ‘Orang Car Wash’)

9.Peniaga kecil-kecilan di pinggir jalan (yang kita sering gelar mereka ‘Penjaja’)

10.Pembantu mengisi minyak kenderaan (yang kita gelar mereka ‘Pump Attendant’)

Banyak/ramai lagi sebenarnya jika mahu disenaraikan.Itu belum dikira yang lagi dhaif dan melarat hidup mereka seperti golongan peminta sedekah, golongan pengemis,golongan ‘gelandangan’ (tiada tempat tinggal/tiada rumah), golongan cacat fizikal (Orang Kurang Upaya) dan juga kategori ‘Golongan Terbiar/Terabai’ yang lain.

Persoalannya, Tuan-Tuan dan Saudara Saudari sekalian,

Pernah kah kita dan rakan-rakan atau juga keluarga kita memberikan sedikit rasa hormat dan penghargaan kepada golongan-golongan yang disenaraikan di atas?

Kita pada hari ini mungkin berjawatan sebagai Pegawai, Eksekutif, Pengurus, Pengurus Besar, Guru Besar, Guru Kanan,Doktor, Peguam,Arkitek,Jurutera,Ahli Politik,Ahli Perniagaan yang berjaya,Akauntan terbilang dan macam-macam lagi lah jawatan yang hebat-hebat.

Kita pun bersyukur, kita juga mempunyai ramai kenalan, teman dan juga ramai yang mendekati kerana hebatnya kita dengan gelaran jawatan tersebut.

Kita sering dan kerapkali lupa kepada ‘menghargai’ orang yang dikategorikan golongan bawahan kita.
Kita sering lupa :

1.Membalas dengan ‘mengangkat tangan’ kembali (sebagai tanda menghargai) kepada ‘Pak Guard’ yang melambai kita di ‘guardhouse’, ketika kita memandu keluar masuk ke bangunan kita bekerja.

2.Mengucapkan terima kasih bila terserempak dengan ‘Mak Cik Cleaner’ yang mencuci di luar persekitaran pejabat atau berdekatan bilik air/tandas ketika kita bergegas hendak ke bilik air atau selepas menggunakan bilik air.

3.Tolong membukakan pintu (jika terserempak) ketika ‘bebudak dispatch atau postman’ membawa banyak surat/barangan ke pejabat kita.

4.Bertanya dengan elok dan tunjukkan keramahan (bukan nada mengarah atau mendesak ) ketika mahu bertanya di kaunter penyambut tetamu.

5.Tatkala mengeluarkan kenderaan dari ruang meletak kereta, kelihatan orang mengutip sampah.Jika sempat ucapkan terima kasih atau pun ‘wave’ (angkat) sahaja tangan sebagai tanda menghargai mereka.

6.Jika di persekitaran hospital atau di mana sahaja, terdapat orang cacat, orang sakit dan orang kurang upaya, dahulukan mereka, jika sempat tolonglah apa yang patut.

7.Ucapkan terima kasih walaupun kita membeli dan membayar wang kepada barangan yang mereka jual contohnya kepada penjaja tepi jalan yang menjual goreng pisang, keropok atau apa-apa jenis perniagaan kecil-kecilan.Tak rugi pun kita.

8.Begitu juga ucapkan terima kasih kepada Office Boy yang menolong kita mendapatkan Bos mereka, yang menghubungi majikan mereka untuk kita berurusan dan sebagainya.

9.Tunjukkan sedikit penghargaan kepada Pump Attendant kerana tolong mengisikan minyak ke dalam tangki kereta /kenderaan kita.Walaupun mereka orang asing (Bangladesh), tidak rugi pun kita berbuat demikian.Hanya ucap, ‘terima kasih’ saja.

10.Kita cuci kereta/kenderaan di ‘Car Wash Outlet’ memang kita bayar dan dengan berlagaknya duduk bersilang kaki di kerusi dan membaca suratkhabar.Siap cuci, beri duit, tanpa menoleh, terus ‘blah’.Apa lah salahnya, ucapkan terima kasih.Mereka pencuci kereta yang berpeluh-peluh mencuci kenderaan kita merasa amat tenang dengan ucapan itu, walaupun wang juga mereka telah perolehi.

Jadi, marilah kita sama-sama memberikan secebis penghargaan kepada golongan bawahan ini bagi membantu mereka bermotivasi dan seronok melakukan tugasan/pekerjaan mereka,sebagaimana seronoknya kita mendapat penghormatan daripada orang lain kerana hebatnya jawatan kita.

Ingatlah, the power of words ‘Thank you atau Terima kasih’ bisa membuatkan musuh merasa terharu, orang yang kepenatan merasa segar, orang yang sakit merasa kurang sakitnya, orang yang cacat merasa lupa akan kecacatannya, orang yang berjawatan rendah merasa berbunga dan besar hatinya,orang yang hina merasa mulia dirinya, orang yang malas merasa ingin menjadi rajin pula dan seterusnya orang yang jahil mungkin terbuka hatinya untuk berkawan dan mempelajari dari kita yang suka/ikhlas menghargainya.


Jadi berikanlah kepada mereka, golongan bawahan ini sedikit penghargaan dan penghormatan.Walaupun hanya dengan sekadar ucapan Terima Kasih.Jangan segan dan malu untuk mengucapkannya walaupun kita seorang Pembesar Negara, tidak rugi apa pun jika kita mengucapkan terima kasih kepada ‘Drebar’/Driver kita yang seringkali membawa kita ke mana-mana dengan selamatnya.


Yang penting sekali, terima kasih lah terlebih dahulu kepada Tuhan Sekalian Alam, barulah diikuti berterima kasih kepada makhluk yang berjasa dan membantu kita.

Sekian.
Terima kasih kepada anda semua kerana sudi membaca coretan saya ini.




Tiada ulasan: