Iklan Nuffnang

Amat Sukar Bersikap Pemurah ?

alriana5604@gmail.com - AL The One

Bersua kembali kita di dunia blog ini.

Anda suka menderma? Atau bersedekah? Jika ya, tahniah dan syabas untuk anda kerana anda memang seorang yang begitu pemurah.

Kita biasanya amat keberatan untuk menderma atau bersedekah jika kita ragui atau tidak pasti ke manakah hasil derma itu diserahkan.Lantaran atas sebab inilah kita amat berhati-hati untuk tidak sewenang-wenangnya menyerahkan wang kita begitu sahaja.

Anda fikir, mudahkah untuk kita menerapkan atau menyemaikan sikap pemurah di dalam diri kita ? Tiap kali ada tabung derma atau kutipan derma, percayalah tidak sebegitu mudah dan ringan tangan kita untuk meletakkan beberapa not wang kertas.

Ada saja yang bermain di dalam fikiran kita.Kita akan terlintas dan mula berfikir, ‘’…betulkah hasil derma atau kutipan sedekah amal ini disalurkan ke tempat yang sepatutnya?’’

Ada segelintir dari kita pula berfikir, …Ahh, aku tak cukup bajet laa…banyak lagi nak kena bayar hutang dan komitmen bulanan ni’’…

Atau;

..’’Ahh, nanti-nanti laa.. bila aku senang sikit, dah dapat bonus ke, dapat naik gaji ke, aku dah kaya ke…sekarang ni aku bergaji kecil jer, banyak nak kena bayar ni…’’

Dan macam-macam lagi alasan terlintas di fikiran kita.

Dalam suatu masa dan keadaan yang berbeza pula, kita begitu betah membeli dan membayar sesuatu perkara yang kita tidak pasti adakah kita patut membelinya.Kita membeli baju baru padahal banyak lagi baju dan pakaian yang telah kita miliki dan masih elok keadaannya.Kita menikmati makanan di restoran makanan segera hampir setiap minggu.Kita pergi ke spa rawatan diri dan wajah serta berhabis ratusan ringgit.Kita pergi ‘window shopping’, dan menghabiskan begitu saja belanja bahan api berjumpa dengan rakan-rakan dan berseronok.Alasan kita, hidup perlu ‘enjoy’ dan tekanan hidup perlu dilepaskan dengan pelbagai cara yang kita suka.

Namun, di suatu sudut sana, ramai lagi yang lebih tertekan hidupnya.Mereka mendambakan makanan yang sekadarnya walaupun tidaklah mewah seperti yang kita nikmati.Mereka perlukan sekolah, perlukan tempat tinggal, penjagaan kesihatan dan juga sedikit keperluan pakaian yang seadanya.

Tiapkali kita keberatan untuk menderma atau bersedekah, ingatlah bahawa sekeping not RM10 yang kita berikan, amat rendah sekali nilainya berbanding perbelanjaan bahan api kita sebulan, berbanding sehelai baju kita yang berharga RM50 sehelai, berbanding rawatan spa kita yang berharga ratusan Ringgit Malaysia sekali dihabiskan.Itu belum dikira belanja menambahkan aksesori kereta kita, membeli telefon bimbit model terkini, membeli perabot dan peralatan rumah yang mahal harganya.Kita sanggup berhabis ribuan ringgit untuk nafsu dan keinginan kita.Tapi kita berasa amat berat untuk menghulurkan derma yang hanya beberapa ringgit sahaja nilainya.

Sememangnya, sikap pemurah dan dermawan amat sukar kita bajai dan amalkan.Kita masih mencurigai ke manakah hasil derma kita disalurkan.Kita masih curiga jika kita ditipu dan diperdaya.Kita masih berasa berat hati kalau-kalau bajet kita tidak cukup dengan menghulurkan derma atau bersedekah.

Pernahkah kita terfikir, siapa tahu, kerana sikap kita yang pemurah, suatu hari nanti rezeki kita akan bertambah dan menjadi lebih kaya dan berharta?

Justeru itu, sikap pemurah tidak wujud secara otomatik pada setiap dari kita.Kita perlu mulakan, semaikan dan amalkan.Semakin dibiasakan, dilatih, lama kelamaan sikap curiga mencurigai kita akan terhakis dan kita menjadi semakin ikhlas untuk menderma dan bersedekah.Tidak perlu mulakan dengan nilai yang banyak.Mulakan dengan not RM1 hingga RM5, bila ada sahaja program kutipan derma atau orang yang meminta pertolongan, berlatihlah untuk ikhlaskan diri menghulurkan sedikit pemberian walaupun cuma RM1.

Mudah-mudahan kita diredhai Allah, dan menjadi antara golongan hambaNYA yang Pemurah, dan juga kita berharap kita akan dimurahkan rezeki dan diberkati olehNYA.

Tak rugi pun jika kita melatih diri kita menjadi seorang yang bersikap pemurah, kan ?

Tiada ulasan: