Iklan Nuffnang

Pentingkah Bicara Hal Politik Kepada Golongan Pertengahan ?



Kadang-kadang saya terfikir, pentingkah politik kepada golongan pertengahan? maksud saya golongan pertengahan ini ialah golongan atau masyarakat yang hidupnya pada tahap sederhana.Iaitu kepada golongan penjawat-penjawat awam berstatus pegawai dan pegawai rendah,pemandu-pemandu teksi,pekerja-pekerja sendiri seperti usahawan-usahawan kecil dan sederhana,pekerja swasta golongan berkelas juruteknik,pegawai-pegawai pejabat,kerani-kerani,dan yang sama taraf/status dengannya.

Maksud saya, kepentingan politik di sini ialah, perlukah golongan sederhana ini mengambil hirau/peduli tentang kerancakan politik di tanahair kita, juga wajarkah mereka melibatkan diri dan berkecimpung dalam aktiviti-aktiviti berkaitan politik seperti menyertai menjadi ahli-ahli parti/pertubuhan politik tertentu,bercakap mengenai hal-hal politik,menyokong segelintir pemimpin-pemimpin idola mereka,juga memberikan sokongan nyata atau tidak nyata kepada hal-hal politik.

Adakah golongan sederhana ini sedar atau tidak sedar bahawa jika diperhatikan di zaman ini, suara mereka sebenarnya kadangkala tidak dihiraukan oleh pemerintah.Contohnya,sesetengah permintaan untuk mendapatkan bonus oleh kakitangan awam,kenaikan gaji oleh kakitangan swasta,bantahan yang dibuat oleh pemandu-pemandu teksi,bantahan dari orang awam mengenai kenaikan harga barang dan lain-lain lagi.

Namun begitu,ada juga sesetengah golongan sederhana ini yang seolah-olah menjadi 'hero' dengan hanya bersembang-sembang mengenai hal politik di kedai-kedai kopi sahaja.Apabila diminta bergiat aktif untuk menjadi sukarela dalam memberikan khidmat bantuan kepada YB-YB/ADUN-ADUN, mereka tidak pula mahu melibatkan diri.Justeru, mereka hanya pandai bercakap atau berkokok dalam dunia mereka sendiri.

Bukanlah sokongan kepada siapa dan kepada parti mana yang menjadi ukurannya, namun wajarkah politik menjadi satu hal yang penting kepada golongan sederhana ini, sehingga kadang-kadang dilihat mereka begitu bersemangat membicarakannya, tetapi dalam hal peningkatan produktiviti pekerjaan harian mereka masih di takuk lama atau mungkin menurun prestasinya.

Lantaran itu,pentingkah hal-hal politik kepada mereka jika sikap mereka yang 'fear of change' itu masih dikekalkan?Kita sering mendengar perkhidmatan yang rendah kualitinya dan banyak benar karenah birokrasinya, jika kita berurusan dengan penjawat-penjawat berstatus pertengahan di kaunter-kaunter kerajaan ataupun swasta.Walaupun tidak semua bersikap begitu, namun kadang-kadang kita terfikir,adakah sikap golongan pertengahan ini memang begitu ? Kerja, dapat gaji, bayar hutang, ada makan minum, ada tempat tinggal, ada kenderaan, sudah.Inikah yang mereka amalkan selama ini ?

Memang diakui, di luar sana wujud segelintir golongan pertengahan yang tidak mementingkan hal-hal politik ini.Bagi mereka,mereka sudah hidup dalam zon selesa dan sesiapa pun / parti mana pun memerintah, mereka tetap dengan sikap mereka yang sama itu.Asalkan periuk nasi mereka tidak diganggu gugat, sudah lah.Mereka tak akan bising pun.

Berbalik kepada kata kuncinya, pentingkah mengambiltahu hal-hal politik bagi golongan berkelas/berstatus sederhana ?

Anda sendiri boleh mengutarakan pendapat-pendapat berkenaan dengannya.

Tiada ulasan: