Iklan Nuffnang

Pengalaman : Anak Kecil Saya (Zarif) Hilang Sekejap di OU

alriana5604@gmail.com - AL The One

Salam sejahtera,

Salam Ramadhan Al Mubarak,

Bros & Sis,

Kali ini saya mahu ceritakan pengalaman yang mendebarkan jantung saya.Ini bagi tujuan panduan dan juga tauladan kepada anda semua.

Baru-baru ini, gara-gara mahu menyertai ‘pre-screening’ filem baru The Wolverine 2013 iaitu pada 23 Julai 2013 Hari Selasa, anak lelaki saya berusia 2 tahun 2 bulan, Zarif, hilang sekejap !


Nak pitam dibuatnya, rasa kecut perut dan gelisah mencari dia.

Sebenarnya saya dan isteri bersama Zarif telah pergi ke One Utama (OU) atas jemputan pihak Majalah GLAM LELAKI yang menghadiahkan kami tiket menonton filem baru The Wolverine 2013, yang diadakan tayangan sebelum pembukaan rasminya pada 26 Julai 2013 nanti.Jadi, ramailah yang hadir menyertai dan juga ada pihak-pihak media seperti Suria FM, Hitz FM, GLAM dan FINAS.Tayangan tersebut diadakan pada jam 9 malam.

Jadinya, kami pergilah awal dan merancang untuk berbuka di OU sahaja.Kami singgah dan masuk untuk berbuka puasa di Food Republic @ OU.


Ketika inilah kerana kelalaian saya dan isteri membiarkan Zarif sendirian keluar dari kawasan dalaman (kawasan meja makan kami duduk), lalu dia telah merayau-rayau di luar sana.Kami sedar Zarif sudah tiada ! Masing-masing gelabah, dan ada seorang penyedia masakan (mungkin chef) di situ memberitahu saya ada seorang kanak-kanak kecil pergi ke luar bersendirian dan terus menuju ke arah kanan dari pintu masuk Food Republic itu.

Saya pun terus pergi mencari Zarif.Sekali saya merayau-rayau dan menjengok-jengok kalau-kalau dia ada di tingkat bawah atau pun tingkat atas (sebab Zarif suka naik escalator cumanya dia takut untuk melangkah mula-mula naik saja).

Namun saya dapati dia tiada !

Sudah lah dah, kalau macam ni, bisik hati kecil saya.Saya agak ‘give up’ dan masih cuba bertenang.Lalu saya kembali masuk ke Food Republic dan jumpa ‘Chef’ tadi.Dia nasihatkan saya cari dulu jika tidak jumpa buat laporan dan dapatkan bantuan sekuriti di setiap aras/tingkat bangunan untuk bantuan mencari Zarif.Saya lihat isteri saya berdiri kegelisahan di meja makan.Waktu berbuka puasa lebih kurang 15 minit sahaja lagi ni !

Macam-macam saya fikir, apa lah takdir saya hari ini, kerana lalai dan alpa, Zarif hilang…menyesalnya saya.
Saya pun ber istighfar dan memohon agar Allah bantu saya di bulan Ramadhan yang mulia ini dan cuba pura-pura tenang di hadapan isteri saya yang sudah pucat dan kelihatan seperti mahu menangis kesedihan.

Saya pun cuba lagi ke luar dari Food Republic itu dan cuba lagi mencari Zarif.Tetapi kali ini saya pergi agak jauh ke arah kanan.Saya tahu Zarif suka mainan ‘swing-swing’ (yang berhenjut-henjut dan perlu masukkan duit syiling tu), lalu saya cuba melihat sekitar kawasan itu.


Namun masih hampa, Zarif tiada di situ !

Saya mula rasa gugup bercampur baur dengan sedih dan marahkan diri sendiri di atas kelalaian saya sendiri.Saya kesal sangat tidak pegang tangan Zarif erat-erat atau pun dukung dia ketika mula-mula masuk ke Food Republic tadi.

Lalu saya berpatah balik ke Food Republic dan saya terima jika hari ini/petang ini/berbuka puasa kali ini saya cuma meneguk air minuman biasa sahaja, dan selebihnya saya akan terus berusaha mencari Zarif.

Akhirnya, Allah membantu saya.Syukur Alhamdulillah.

Saya dapat lihat kelibat Zarif dari hadapan (kawasan ke kanan dari Food Republic) menuju ke kawasan permainan tunggangan ‘swing-swing’ tu, Zarif berada di seberang sana.Maksudnya, dia sedang ‘berjalan-jalan gembira’ di sebelah ruang laluan hadapan lot-lot kedai bertentangan dangan Food Republic.


Saya pun terus berlari pantas tanpa menghiraukan orang ramai di sekeliling yang memerhati.
Zarif tidak perasan saya datang berlari mendapatkannya.

Saya terus ‘grab’ dan peluk dia dari sisi dia (Zarif ketika itu sedang berjalan-jalan) dan terus merangkul dia dan mengucup kepala, dahi, pipi dia bertalu-talu.Saya juga bergenang air mata kesedihan dan kesyukuran.

Saya katakan pada Zarif;
’’Zarif, Zarif tak boleh pergi mana-mana kalau Abah dan Mama tak ada bersama Zarif,tau, …Zarif budak kecil lagi, walaupun Zarif cerdik dan bijak cari permainan sendiri dan cari kedai mainan sendiri, tapi kalau Mama atau Abah tak ada dengan Zarif, macam mana Zarif nak cari dan datang semula kepada Abah dan Mama?Zarif bukan pandai membaca lagi dan mana nak ingat kedai mana Mama dan Abah masuk/pergi makan’’….’’Lain kali jangan buat lagi ya, risau sangat-sangat Mama dan Abah’’, pujuk saya sambil mendukungnya kembali masuk ke Food Republic untuk berbuka puasa.

Zarif memang anak yang cerdik fikiran dan mindanya.Dia seperti faham apa yang saya katakan.Dia cuma diam tertunduk dan saya terus memeluknya erat-erat.Isteri saya melihat saya membawa Zarif bersama dan dia kelihatan amat-amat lega sekali.Kami pun berbuka puasa bersama.


Selepas pada kejadian itu saya masih terngiang-ngiang lagi akan perasaan dan gambaran pengalaman yang begitu menggusarkan saya dan isteri apabila anak hilang.

Pada malam itu juga kami bertiga masuk ke GSC Cinema di Hall 6 dan menonton ‘pre-screening’ filem The Wolverine 2013.Walaupun filem tersebut bagus, penuh dan padat dengan aksi lakonan hebat aktor Hugh Jackman sebagai Wolverine, namun masih juga saya teringat akan kejadian Zarif hilang sekejap.Namun saya bersyukur saya dapat menemui Zarif semula.


Ambillah tauladan dari kisah ini.Ianya benar-benar berlaku kepada saya.

Jagalah anak kita baik-baik.Jangan leka dan lalai membiarkan mereka terlepas bebas bersendirian terutama bagi kanak-kanak yang masih berusia mentah dan masih kecil yang umurnya cuma beberapa tahun saja.

Biar kita bersikap agak mengongkong namun jangan bersikap terlalu membebaskan pergerakan anak-anak kecil.Cegahlah dahulu sebelum terjadi kes-kes yang lebih berat seperti penculikan atau pun pembunuhan kepada nyawa insan kecil yang tidak berdosa.

Banyak kes-kes yang menyayat hati kita pernah dengar dan baca di dada akhbar seperti kes adik Nurin Jazlin dan kes adik Sharlini.Nurin ditemui mati manakala Sharlini hingga kini hilang tidak ditemui.

Kepada Zarif, apabila Zarif telah dewasa nanti, bila membaca entri blog Abah ini, ketahuilah, Abah dan Mama sangat sayangkan Zarif.Zarif lah satu-satunya permata hati Abah dan Mama.

Sekian.

Tiada ulasan: