Iklan Nuffnang

Putrajaya Oh Putrajaya...

alriana5604@gmail.com - AL The One

Salam Jumaat yang berkat,

Hai my blog readers…

Saya baru-baru ini berkunjung pula ke Putrajaya setelah hampir setahun tidak ke sana.Paling akhir saya ke Putrajaya ialah pada tahun lepas 2012, ketika menyaksikan Pertunjukan Belon Panas Udara yang diadakan di Putrajaya (Putrajaya Hot Air Balloon Festival 2012).Tahun ini saya tidak berkesempatan untuk mengunjungi festival yang sama kerana kesuntukan masa dan agak sibuk dengan rutin hidup dan tugasan seharian.



Saya pergi ke Putrajaya sebenarnya sambil-sambil melihat suasana persekitaran berkempen sempena Pilihanraya Umum Ke-13 yang akan diadakan pada 05 Mei 2013 nanti.Maklumlah, pertembungan calon yang boleh dikatakan sengit dan rakyat seperti memberikan signal ke arah perubahan.Calon yang bertanding di kerusi parlimen Putrajaya ialah di antara Dato’ Husam Musa (dari PAS) menentang penyandang kerusi tersebut YM Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Yaakob (dari BN/UMNO).Selamat berjaya lah kepada mereka berdua.Namun yang pasti pertandingan mestilah ada pihak yang menang dan satu pihak lagi akan tewas.



Ok, kita stop dulu cerita berkenaan politik, itu cuma selingan sepintas lalu sahaja.

Sambil-sambil saya ‘drive’ perlahan menikmati suasana dan keindahan Putrajaya, saya pergilah menuju ke Muzium Alam Semulajadi di Jalan Diplomatik, Presint 15 untuk melihat Pameran Katak & Kodok yang diadakan di situ.Lagipun saya membawa anak dan isteri, teringin juga untuk berhenti, berehat-rehat dan bersiar-siar melayani mereka.



Muzium Alam Semulajadi ini berkonsepkan ruang terbuka.Jika kita biasa masuk ke mana-mana muzium, pencahayaan (lighting) nya agak gelap, kelam dan suram, tidak begitu di Muzium Alam Semulajadi ini.Ianya cerah dan terang.Senang dan jelas untuk melihat objek-objek yang dipamerkan.

Ketika saya berada di dalam muzium ini, terdapat juga pameran spesis-spesis haiwan-haiwan liar yang mati dan telah diawetkan.Di antaranya ialah harimau, rusa,monyet, rodensia,beruang,kambing gurun, tapir,badak,gajah dan macam-macam haiwan lagi.Ianya dipamerkan di ruang tingkat bawah.





Manakala untuk Pameran Katak & Kodok, ia dibuat di tingkat satu.Rupa-rupanya untuk sesiapa yang belum tahu, katak dan kodok bukanlah haiwan yang sama.Ianya berlainan dan ada perbezaannya.Ibarat keluarga dalam spesies harimau.Harimau belang/Bengal dengan harimau kumbang berlainan walaupun berada dalam ‘keluarga harimau’.



Begitu juga dengan katak.Katak lebih bercirikan mempunyai kaki panjang dan kuat melompat.Manakala kodok pula saiz kakinya agak pendek, tidak kuat melompat dan juga badannya berbentuk menggerutu.Pameran Katak & Kodok ini menggunakan spesis katak dan kodok yang hidup dan ada juga yang mati kemudian diawetkan.Anak saya, Zarif yang kini berumur 2 tahun, begitu teruja melihat katak dan kodok tersebut.Dia belajar menyebut ‘Frog, Frog’.Gembiranya dia…



Kemudian, setelah lama berada di Muzium Alam Semulajadi, saya menuju pula ke Taman Botani Putrajaya.Cantik sungguh suasana di situ bagi orang yang jarang-jarang berkunjung ke sana lah agaknya, macam saya ini.Dapatlah peluang bersantai, berjalan-jalan di persekitaran taman tersebut dan juga sambil melatih Zarif berjalan dan berlari-lari anak bermain kejar-kejar dengan dia.Kemudian kami pergi melihat orang bermain kayak (canoeing) di tepi tasik sambil menikmati juadah tengahari di Café Tasik Putrajaya.







Dari sudut lainnya, saya melihat Putrajaya memang sebuah ‘Bandar Pentadbiran Dalam Taman’, inilah yang boleh saya katakan.Suasananya masih lagi bersih, segar, luas, menenangkan jiwa dan juga kelihatan tersusun dari segi kependudukannya dan juga pembangunannya.Namun setiap pembangunan, ada harga yang kita perlu tanggung.Saya difahamkan, harga rumah di Putrajaya makin melambung tinggi, ruang parkir terhad, trafik jalanraya semakin sibuk dan juga masalah sosial semakin banyak.Itu belum lagi dikira ‘onar’ dari warga asing yang menyewa di ‘Flat Hijau’ dan juga masalah kebanjiran pendatang asing.

Sebagai rakyat, saya bangga dengan idea Tun Dr Mahathir mewujudkan dan membina Putrajaya semasa era pentadbiran beliau sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke -4.Apa-apa pun semuanya dengan izin Allah belaka.Semenjak terbinanya Putrajaya, ianya menjadi ‘ikon pentadbiran utama’ bagi kerajaan yang memerintah di negara Malaysia ini.

Untuk itu, jika kita sebagai penghuni dan penduduk yang menetap di Putrajaya mahu pun sebagai pengunjung yang cuma sekali-sekala ke Putrajaya, marilah kita bersama-sama menjaga keunikan Putrajaya dan menambahbaik persekitarannya sekadar yang termampu oleh kita.Contohnya, jagalah kebersihan, jangan melakukan jenayah dan juga menjaga akhlak dan tatasusila kita.Bukan saja di Putrajaya, tetapi di mana-mana pun kita perlulah berakhlak dan bersikap mulia.

Errmm…..akhir sekali saya ingin bertanya anda semua;

Selepas Pilihanraya Umum Ke-13 pada 05 Mei 2013 nanti, anda menjangkakan siapakah yang akan ’menduduki’ Pusat Pentadbiran Putrajaya? Pakatan Rakyat kah atau Barisan Nasional masih mampu mempertahankan kuasa sedia ada?

Wallahualam…


Tiada ulasan: