alriana5604@gmail.com - AL The One
Selamat bersua kembali di alam maya ini,
Kesempatan saya baru-baru ini mengunjungi Pantai Teluk Cempedak dan Mini Zoo Kuantan agak menarik untuk dikongsikan.Saya sebenarnya sudah lama ingin berkunjung semula ke Pantai Teluk Cempedak apatah lagi diajak oleh keluarga ke Mini Zoo Kuantan yang jaraknya antara kedua-dua lokasi ini tidaklah jauh sangat.
Mini Zoo Taman Teruntum, Kuantan ini terletak berhampiran Teluk Cempedak, Kuantan Pahang,Malaysia. Melalui Jalan Teluk Sisek dari Kuantan menghala ke Pantai Teluk Cempedak, terdapat simpang ke kanan selepas padang golf dan berhadapan dengan Istana. Bayaran masuk adalah percuma dan dibuka setiap hari dari pukul 8:00 pagi hingga 7:00 malam.
Setelah begitu lama tidak ke Pantai Teluk Cempedak, saya dapatlah berkunjung ke sana baru-baru ini.Kira-kira sudah hampir 19 tahun saya meninggalkan Kuantan iaitu dulunya saya pernah bersekolah di Sekolah Menengah Teknik Kuantan di Alor Akar.Banyak juga perubahan dari segi lanskap yang baru diwujudkan di kawasan Pantai Teluk Cempedak ini.Sempatlah juga ‘pekena’ air kelapa pandan di pantai yang cantik ini.
Manakala Mini Zoo Kuantan pula, tidaklah menempatkan begitu banyak jumlah haiwannya, cuma beberapa jenis dan spesis sahaja.Ianya termasuklah spesis burung-burung, ‘macaques’ (monyet/kera),kucing,musang,unta,memerang,ular di Serpentarium (Rumah Ular),buaya tembaga,landak,kura-kura dan kucing batu.Namun begitu, spesisnya semakin sedikit dan jumlah haiwan yang ditempatkan di zoo ini juga semakin berkurangan.Mungkin faktor kos penjagaannya yang tinggi atau pun haiwan tersebut ditempatkan di zoo yang lebih besar di negeri-negeri lain bagi mewujudkan persekitaran yang lebih luas dan dominan untuk haiwan-tersebut.
Sewaktu saya mengunjungi zoo ini, saya sempat menaiki kereta kuda bersama keluarga.Saya juga sempat melihat spesis burung-burung dan juga beberapa jenis haiwan yang masih dipamerkan di situ.Walaupun haiwannya sudah semakin berkurangan, tetapi haiwan seperti ular,burung-burung,memerang,unta,kucing batu,musang,ungka dan landak masih terdapat di sini.Haiwan yang saya ingin lihat secara ‘live’iaitu ‘nilgai’ yang dulunya terdapat di zoo ini, sudah pun dikeluarkan dan sudah tiada di sini.Nilgai ialah haiwan ‘antelop family/species’ iaitu ianya mirip kepada keluarga rusa bertanduk dua yang tajam (bukan tanduk bercabang).
Jika anda berkunjung ke Kuantan Pahang, ayuhlah ke Pantai Teluk Cempedak dan ke Mini Zoo ini, sambil-sambil menghirup udara pantai yang segar dan kemudiannya singgah di Mini Zoo melayani anak-anak dan keluarga.
Jom Jalan-Jalan dan bersantai !
Tiada ulasan:
Catat Ulasan